Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob berkata, pihak yang masih mengkritik enakmen hudud yang dibentangkannya hari ini adalah “golongan yang tidak beriman”.

Dalam ucapannya di DUN Kelantan itu, beliau merujuk kepada pihak yang mendakwa undang-undang itu “zalim dan tidak berperikemanusiaan”.

"Tuduhan yang menyatakan undang-undang ini zalim dan tak perikemanusiaan adalah tuduhan liar yang terbit dari hati orang-orang yang tak beriman," katanya.

Dalam ucapan ketika membentangkan Pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 itu, Ahmad juga memberi jaminan bahawa undang-undang tersebut tidak akan dikuatkuasakan ke atas orang bukan Islam.

"Di sini saya nak jelaskan bahawa Kanun Jenayah II adalah terpakai kepada orang Islam sahaja iaitu orang Islam yang mukalaf yang melakukan kesalahan di bawah Kanun ini, di negeri ini.

"Ini bermakna, Kanun ini sama sekali tidak terpakai ke atas orang bukan Islam," tegasnya.

Sentimen yang sama turut disuarakan oleh para ADUN dalam sesi perbahasan selepas itu.

Antaranya, Hassan Mohamood (PAS-Tawang) yang berkata, orang bukan Islam tidak sepatutnya menentang hudud.

"Ia merupakan tanggungjawab kepada semua pemimpin (Islam) untuk melaksanakan hudud.

"Orang bukan Islam mengamalkan ajaran mereka, sembahyang kepada tuhan mereka. Jadi, kenapa mereka yang bukan Islam ini menentang pelaksanaan hudud?," soalnya.

Sementara itu, Dr Md Yusnan Yusof (PAS-Melor) pula berkata, hudud sebelum ini tidak boleh dilaksanakan di Kelantan kerana tidak mendapat sokongan daripada pemimpin negara.

Bagaimanapun, beliau yakin sokongan wakil Umno Kelantan kali ini akan memberi keputusan berbeza.

"Tetapi melihat reaksi Umno hari ini, ia adalah bukti perpaduan kami mengenai perkara hudud ini," katanya.

Terdahulu, ketua pembangkang Datuk Md Alwi Che Ahmad (Umno-Kok Lanas) berikrar bahawa wakil partinya akan memberi sokongan penuh terhadap pelaksanaan hudud.

Lihat Komen
ADS