Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Penggantungan The Edge, Financial Daily dikecam
Diterbitkan:  Jul 24, 2015 4:44 PM
Dikemaskini: 9:32 AM

Bekas anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Saifuddin Abdullah mengecam tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menggantung permit penerbitan akhbar The Edge Media Group.

"Saya mengutuk sekeras-kerasnya tindakan menggantung selama tiga bulan The Edge dan Financial Daily, " kata Saifuddin melalui status terbaru di Facebook beliau petang ini.

Status tersebut dimuat naik susulan pengumuman The Edge Media Group mengenai tindakan kerajaan hari ini.

Dalam kenyataan kumpulan media itu menyebut, penggantungan berkuat kuasa selama tiga bulan bermula 27 Julai ini.

KDN dilaporkan bertindak demikian berdasarkan laporan media terbabit dalam isu 1MDB yang didakwa “memudaratkan atau mungkin memudaratkan ketenteraman awam, keselamatan atau mungkin menggemparkan pendapat umum atau mungkin memudaratkan orang awam atau kepentingan awam”.

KDN juga memberi amaran menarik balik permit The Edge Media Group jika syarikat itu terus menerbitkan akhbar berkenaan dalam tempoh penggantungan.

Demi kepentingan umum

Sementara itu Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Nik Nazmi Nik Ahmad menganggap tindakan KDN itu melanggar prinsip kebebasan media.

"Kerajaan harus menjelaskan mengapa laporan The Edge berkenaan 1MDB dianggap  memudaratkan dan boleh membawa gangguan kepada keselamatan dan ketenteraman awam atau memberi ancaman kepada keselamatan negara.

"Seperti yang telah disebut berulang kali, kegagalan kerajaan menjawab persoalan-persoalan 1MDB sebenarnya yang mengakibatkan rasa tidak puas hati rakyat dengan keadaan sekarang ini, bukannya laporan media," katanya.

Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) berkata, kerajaan perlu menjelaskan bagaimana laporan The Edge mengenai 1MDB mengancam keselamatan negara.

Dalam kenyataan bersama Pengarah CIJ, Sonia Randhawa dan Jac Kee, pertubuhan itu berpendapat The Edge bertindak atas kepentingan awam dan negara dengan mendedahkan isu berkenaan.

Kata mereka, ia boleh dianggap membawa kepada penubuhan pasukan bertindak khas bagi menyiasat dakwaan itu.

"CIJ meminta KDN menarik balik penggantungan penerbitan The Edge serta-merta dan menghormati hak dan kebebasan bersuara," katanya.

Gerakan Media Marah (Geramm) pula melihat keputusan hari ini sebagai langkah pihak berkuasa mengawal media melalui Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

"Geramm mengulangi gesaan supaya kerajaan memansuhkan akta ini memandangkan ia menjadi alat menghalalkan tindakan ke atas media dalam sebarang pertikaian," kata kenyataan dikeluarkan hari ini.

Pada masa sama, Geramm turut mengambil kira wujud persoalan moral dan etika dalam isu berkenaan ekoran pengakuan The Edge mengenai cara mereka mendapatkan maklumat.

"Namun Geramm berpendapat media perlu mempunyai kebebasan menyiasat sesuatu perkara demi kepentingan umum," kata pertubuhan berkenaan.

Lihat Komen
ADS