Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
KDN gantung permit penerbitan The Edge
Diterbitkan:  Jul 24, 2015 3:00 PM
Dikemaskini: 7:46 AM

The Edge Media Group mengumumkan, Kementerian Dalam Negeri menggantung permit penerbitan untuk dua akhbar terbitannya, The Edge Weekly dan The Edge Financial Daily.

Satu kenyataan kumpulan media itu menyebut, penggantungan itu berkuat kuasa selama tiga bulan bermula 27 Julai.

KDN bertindak demikian berdasarkan laporannya berhubung 1MDB yang didakwa bersifat “memudaratkan atau mungkin memudaratkan ketenteraman awam, keselamatan atau mungkin menggemparkan pendapat umum atau mungkin memudaratkan orang awam atau kepentingan awam”.

KDN akan menarik balik permit berkenaan sekiranya The Edge Media Group tidak menghentikan penerbitan akhbar tersebut dalam tempoh itu, kata syarikat itu.

Arahan tersebut diterima melalui satu surat KDN.

Ketua pegawai eksekutifnya Ho Kay Tat berkata syarikat penerbitan itu akan mendapatkan perintah mahkamah bagi membatalkan penggantungan permit berkenaan.

Penggantungan permit itu hanyalah satu usaha untuk “menutup (The Edge) bagi menutup mulut kami” kata Ho yang mempunyai kira-kira 350 orang kakitangan untuk operasinya di Malaysia.

Beliau turut menangkis tuduhan KDN bahawa laporan The Edge berhubung 1MDB boleh memudaratkan keselamatan awam.

“Kami tidak nampak bagaimana pendedahan komplot untuk menipu berbilion ringgi daripada rakyat Malaysia boleh dianggap menjejaskan kepentingan awam dan negara,” kata Ho.

Dengan penggantungan akhbarnya, Ho berharap para pembaca dan pengiklannya dapat terus menyokong penerbitan dalam talian The Edge.

Pemilik The Edge Media Group, Tong Kooi Ong disiasat mengikut Seksyen 124 Kanun Keseksaan berhubung kegiatan "menjejaskan demokrasi berparlimen" ekoran laporan mengenai 1MDB.

Lihat Komen
ADS