Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Khalid: 3 tahanan disiasat kes dokumen bocor
Diterbitkan:  Aug 1, 2015 8:58 PM
Dikemaskini: 2:46 PM

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar hari ini berkata, penahanan seorang timbalan pendakwa raya, bekas penasihat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pegawai Pejabat Peguam Negara dibuat berhubung kebocoran maklumat .

"Siasatan juga ditumpukan kepada kebocoran rasmi kerajaan yang disalahgunakan pihak tertentu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Khalid juga menamakan tiga individu itu sebagai Tan Sri Rashpal Singh Jeswant Singh (bekas penasihat SPRM),  Ahmad Sazilee Abdul Khairi (timbalan pendakwa raya) dan Ketua Pentadbiran dan Kewangan Sekretariat Pasukan Petugas Khas, Jessica Gurmeet Kaur Nashattar Singh.

Kata Khalid, pegawai dari Bank Negara Malaysia dan beberapa bank komersial juga disoal siasat bagi membantu siasatan polis.

"Polis akan menjalankan siasatan telus dan adil berdasarkan kepada peruntukan undang-undang," katanya.

Penahanan itu dibuat ketika pasukan petugas khas tersebut sedang menjalankan siasatan berhubung dakwaan berlaku pengaliran dana 1MDB ke akaun persendirian Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Najib sudah menafikan dakwaan itu.

Tan Sri Abdul Gani Patani yang menyelaraskan hal ehwal perundangan siasatan berkenaan dilucutkan jawatannya pada Selasa lalu.

Khalid berkata, tiga individu yang ditahan hari ini turut disiasat berhubung penerbitan artikel "fitnah" dalam laman web Sarawak Report .

Sementara itu Rashpal Singh dibebaskan daripada tahanan reman malam ini.

Peguamnya, Ragunath kesavan berkata, Rashpal dibebaskan kira-kira jam 9 malam.

Lihat Komen
ADS