Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hamid: Adakah saya ditukar kerana berada di rumah Gani?
Diterbitkan:  Sep 6, 2015 11:41 PM
Dikemaskini: 3:51 PM

Bekas timbalan pengarah Cawangan Khas PDRM Datuk Abdul Hamid Bador hari ini mengakui bahawa beliau berada di rumah bekas peguam negara Tan Sri Abdul Gani Patail untuk mengadakan "satu perbincangan" dua malam sebelum Gani dipecat.

Mendedahkan perkara itu dalam kenyataannya hari ini, Abdul Hamid bertanya kepada Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Zahid Hamidi jika kunjungannya ke rumah bekas peguam negara itu menyebabkan beliau ditukar ke Jabatan Perdana Menteri (JPM).

"Saya mengaku bahawa memang saya berada di rumah Tan Sri Gani Patail hampir sejam setengah, dua malam sebelum beliau dipecat di mana banyak perkara telah dibincangkan.

"Saya mengaku bahawa di masa lalu Tan Sri Gani Patail sering meminta pandangan Cawangan Khas dalam banyak isu atau kes tertentu khususnya yang mempunyai implikasi terhadap keselamatan negara.

"Jika fakta inilah yang dijadikan alasan oleh Datuk (Seri) Zahid Hamidi untuk menghukum saya, maka kejamlah beliau. Tidak sedarkah beliau bahawa saya ini seorang pegawai berkarier dalam PDRM dan bukan macai politik?" soal Abdul Hamid dalam kenyataan medianya.

Abdul Hamid bagaimanapun tidak menjelaskan butiran perbincangan beliau dengan Gani di rumah bekas peguam negara itu.

Beliau turut bertanya Zahid sama ada pertukarannya itu dibuat dalam "mesyuarat tergempar" yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan dihadiri isterinya Rosmah Mansor, Zahid dan beberapa pegawai tinggi kerajaan yang lain.

"Jika benar, amatlah hina diri ini saya rasakan," katanya yang bertugas di Cawangan Khas selama 37 tahun.

Malaysiakini cuba menghubungi pembantu Najib, Rosmah dan Zahid bagi mendapatkan respon berhubung dakwaan itu.

Abdul Hamid turut meminta supaya Zahid menjelaskan berhubung pertukarannya ke JPM yang dianggapnya "luar biasa" memandangkan perkara itu disampaikan oleh Zahid secara lisan kepadanya.

"Saya ingin jawapan dari Datuk Seri Zahid Hamidi sendiri... Oleh kerana beliau yang memaklumkan secara lisan kepada saya tentang pertukaran tersebut, maka sudah tentu beliau tahu sebab-musababnya," katanya.

Perkhidmatan Gani sebagai Peguam Negara ditamatkan pada 27 Julai lalu. Pemecatan itu dilakukan selepas Gani didakwa merangka kertas pertuduhan untuk mendakwa Najib kerana merasuah.

Gani bagaimanapun kekal senyap berhubung dakwaan tersebut. Penggantinya Tan Sri Mohamed Apandi Ali bagaimanapun menafikan wujudnya kertas pertuduhan itu dan mendakwa kertas pendakwaan palsu berhubung jenayah Najib itu menunjukkan adanya usaha untuk menggulingkan kerajaan.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS