Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
KM P Pinang nafi tweet 'keluar negeri' berkaitan pembesar suara

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menafi menghantar tweet menggesa mereka yang tidak bersetuju dengan larangan pembesar suara di masjid, kecuali untuk azan, keluar dari negeri itu.

Lim berkata satu laporan polis akan dibuat terhadap tweet palsu itu hari ini, untuk meminta polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia cepat bertindak terhadap perkara itu.

Bercakap dalam satu sidang akhbar hari ini, Lim berharap orang ramai tidak akan mempercayai pembohongan itu.

Lim berkata, tweet itu dihantar oleh pihak tertentu untuk memburukkan kerajaan negeri dan mengalih perhatian rakyat dari banyak dakwaan skandal kewangan yang melanda negara ini.

Katanya, beliau tidak pernah mengeluarkan kenyataan seperti itu ataupun campur tangan dalam hal ehwal Islam di negeri itu.

Tambahnya, keputusan untuk membenarkan pembesar suara di masjid hanya untuk azan dibuat oleh Jabatan Mufti Pulau Pinang, Majlis Agama Islam Pulau Pinang dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang.

Lim yang juga setiausaha agung DAP berkata perbuatan untuk mengaitkan dirinya dengan perkara seperti ini adalah berniat jahat dan fitnah.

Beliau berkata Pulau Pinang tidak pernah meminggirkan mana-mana masyarakat, walaupun mereka yang menyokong Umno atau parti komponen BN yang lain.

Peruntukan negeri disalurkan kepada semua penduduk Pulau Pinang, tanpa mengira fahaman politik.

Turut hadir di sidang akhbar itu ialah presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu.

Mohamad, yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu, mempertahankan Lim, dengan berkata Lim tidak mungkin campur tangan dalam keputusan untuk mengharamkan pembesar suara itu kerana beliau bukan seorang Muslim.

"Semuanya satu pembohongan yang berniat jahat kerana beliau seorang Cina, dari DAP dan beliau Guan Eng," kata bekas timbalan presiden PAS itu. - Mkini English

Lihat Komen
ADS