Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

TRAVELOG Hari dan malam silih berganti, namun fikiranku belum membuahkan keputusan. Perbincangan dengan kedua ibu bapa masih terngiang-ngiang dalam kepala.

Mereka seakan-akan tidak setuju dengan rancanganku untuk mengembara di Indonesia selama sebulan.

Pada mereka, sebaik menamatkan pengajian dengan cemerlang, adalah lebih baik aku terus tumpukan perhatian untuk pada kerjaya agar masa depanku cerah.

Petang itu suhunya agak dingin. Sambil menghirup kopi 'O', aku menghidupkan komputer dan menempah tiket penerbangan ke Indonesia. Di corong pembesar suara komputer, lagu ‘Perjalanan Hitam’ dari The Korok berkumandang.

Ya, aku tidak bekerja tapi masih punya simpanan. Semuanya hasil simpanan dari saki-baki duit PTPTN setiap semester waktu belajar dulu. Pelik bukan? Aku masih punya duit baki PTPTN.

Bukan apa, minat aku dulu lain. Masa belajar dulu, selepas mendapat tahu duit pinjaman PTPTN masuk ke akaun, aku tidak mengeluarkan semua wang untuk berjoli.

Aku tidak perlukan semua itu kerana aku perlukan wang untuk sesuatu tujuan lain. Aku melihat, kebanyakan pelajar lain lebih gemar membelanjakan duit pinjaman untuk membeli telefon pintar dan gajet canggih.

Ada yang sering menikmati hidangan di tempat makan mewah, dan terpaksa makan mi segera setiap hujung semester. Aku percaya tidak semua pelajar bersikap begitu. Mungkin ada segelintir yang terpaksa membelanjakannya atas sebab tertentu.

Mungkin telefon bimbitnya sudah terlalu uzur atau mungkin pelajar itu dari keluarga kurang berkemampuan lalu terpaksa mengharapkan duit pinjaman PTPTN. Tapi sedih sekali, belum dapat kerja, rata-rata para pelajar sudah berhutang.

Bila teringat kepada hutang PTPTN ini, aku teringat pada kata-kata yang dilemparkan seorang kawan mengenai perancangan untuk ke Indonesia.

“Sudahlah berhutang, hendak buang masa mengembara pula,” rengusnya, tapi aku persetankan sahaja.

Walaupun pinjaman PTPTN yang aku tanggung telahpun diubah menjadi jadi biasiswa kerana ijazah lulus dengan cemerlang, aku masih tanggung hutang PTPTN untuk peringkat diploma.

Aku percaya setiap manusia ada keutamaan dalam hidup masing-masing. Ada yang utamakan permainan video dalam talian, melukis, menulis, membina kerjaya, menyertai pasukan keselamatan dan lain-lain. Keutamaan aku pada waktu ini adalah mengembara.

Aku membuka satu tetingkap incognito di Google Chrome untuk memasuki laman web Malaysia Airlines (MAS). Berdasarkan tips yang aku baca, jika membeli tiket penerbangan yang murah, harus guna tetingkap incognito.

Sekiranya pelayar Internet kita mempunyai rekod pembelian tiket penerbangan, harganya sedikit demi sedikit akan meningkat setiap kali kita melayari Internet untuk membeli tiket penerbangan seterusnya.

Akupun tak berapa pasti namun hanya berkongsi dan ikutkan saja petua itu. Aku tidak pedulikan apa lagi. Aku cuma klik dan terus klik untuk membeli tiket penerbangan. Destinasi – Jakarta.

Terpapar kod CGK mewakili Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta. Aku klik untuk menempah tiket penerbangan sehala ke Jakarta. Tarikh 13 Disember dipilih. Yeah!

Usai sudah urusan pembelian online. Menunggu e-mel dari pihak MAS untuk cetak boarding pass. Kemudian aku melayari laman web pesaing MAS, iaitu AirAsia untuk membeli tiket penerbangan pulang.

Memandangkan aku dan Haeri akan mengakhiri kembara di Lombok, hanya AirAsia yang akan membawa kami pulang ke Malaysia.

Seperti biasa, tanpa berfikir panjang, aku membeli tiket sehala untuk pulang ke Kuala Lumpur dari Lombok.

Hatiku berdebar, semakin tidak sabar untuk merantau selama sebulan. Telefon bimbit dicapai dan terus hubungi Haeri untuk mengesahkan bahawa aku akan mengembara bersamanya.

Tarikh 13 Disember semakin hampir. Tinggal satu hari saja lagi untuk aku berangkat ke Jakarta. Sisa-sisa hari menanti tarikh tersebut banyak dihabiskan dengan menyeru dan merangsang semangat serta mood untuk mengembara.

Malam itu aku merenung beg galas berjenama Deuter tiruan yang dibeli. Harganya RM50 saja untuk saiz 45+10 liter, dibeli melalui seorang kawan sekampus. Kawanku itu memesan melalui seorang saudaranya yang berkunjung ke Kemboja.

Dalam hati terdetik persoalan jika beg galas tiruan itu akan dapat bertahan.

Aku persetankan kebimbangan itu lalu melangkah menuruni tangga. Mak dan ayah sedang menonton televisyen di bahagian ruang tamu rumah. Aku terus ke dapur.

Aku selongkar peti ais sehabis-baisnya sambil dengar pembaca berita Buletin Utama merapu. Aku mencapai coklat Kit-Kat milik anak buah. “Aku akan gantikan coklat ini,” janjiku sambil menyuapkannya ke dalam mulut.

Aku melabuhkan punggung ke sofa berhampiran Mak dan Ayah sambil mencungkil gigi mengeluarkan sisa coklat. Pandangan mereka berdua beralih dari peti propaganda ke arah aku. Aku membalas pandangan mereka.

Terdetik rasa hendak memberitahu mereka mengenai hajatku untuk mengembara, namun tidak berjaya diungkapkan

Sekali lagi aku cuba dan kali ini berjaya: “Uzi nak bertolak ke Indonesia esok”. Ayat pertama yang keluar dari mulut aku mengubah sedikit riak wajah mak dan ayah.

“Kau hendak pergi juga?,” soal ayah sambil menyuap kuaci ke mulut. Aku hanya mengangguk kepala.

Ayah mengeluh panjang. Sebutir demi sebutir kuaci digigitnya. “Tiket pun Uzi dah beli,” aku menambah.

Mereka berdua terus berdiam dan memandang satu sama lain. “Macam mana dengan kerja? Sekarang, hidup susah kalau tak dapat kerja bagus.” balas ayah.

Aku mendiamkan diri. Aku memang malas hendak berbicara pasal ini. Hati, mood aku, dan segala macam benda dalam kepala otak sentiasa menolak idea untuk mencari kerja waktu ini.

Aku belum bersedia. Aku tak ingin dibebani dengan tanggungjawab merepek dari syarikat korporat yang tamak haloba.

“Mak tak mahu Uzi hidup susah,” mak pula bersuara seakan-akan memujuk.

Aku masih terdiam. Mungkin sebagai tanda bantahan. Ayah pula bersuara: “Kau memang degil, keras kepala, tak dengar cakap!,” sedikit tinggi suaranya. Tangannya tetap menyuap butir kuaci ke mulut.

Aku angkat punggung dan berlalu. Aku tidak mahu berdebat. Aku tidak mahu semua itu menjahanamkan mood dan semangatku.

Sejak dahulu lagi manusia mengembara. Mengembara adalah sebahagian dari hidup manusia. Dunia ini adalah sebuah gudang ilmu yang luas untuk diterokai.

[Bersambung dalam bahagian seterusnya]


Ahmad Fauzan Azam seorang punk rocker. Selain menulis untuk zine Dead Sick Society bersama seorang teman, beliau turut menulis certot untuk Charity Zine terbitan Marhaen Litera.

Anak muda ini juga merupakan salah seorang penulis dalam zine LRT dan antologi cerpen 10 Orang Gila keluaran Cukong Press. Impiannya hanya untuk melihat dunia ini lebih aman didiami.

Buku 'Travelog Faghuzi'

Kembara dua orang anak muda ini ke Indonesia mengajar mereka makna hidup.

Mereka melihat kemanusiaan yang dicarik-carik oleh kemiskinan dan penindasan.

Sisi yang terselindung di sebalik keindahan negara ini mengubah perspektif mereka tentang kehidupan.

Untuk pembelian, hubungi Rabak-Lit di Facebook , Twitter , dan Instagram.

Rabak-Lit diusahakan oleh kolektif seni Projek Rabak .

Ikuti sedutan bahagian pertama: 30 hari di Indonesia? Ayuh

Lihat Komen
ADS