Paling Popular
Terkini

TRAVELOG Lembah Kelang, Malaysia

Faghuzi nama aku. Baru tamat pengajian dari sebuah universiti awam tempatan yang cukup dikenali oleh orang Malaysia. Masih belum mendapat pekerjaan. Mungkin rezeki belum sampai gamaknya. Masih tercari-cari tujuan hidup.

Rakan-rakan seperjuangan ramai yang sudah mendapat pekerjaan. Ada yang mendapat pekerjaan diimpikan dan ada juga yang kerja asalkan mendapat pekerjaan. Tidak kurang juga yang mendirikan rumah tangga. Aku? Masih tak bermakwe.

Tak apa. Aku malas hendak kusutkan kepala buat masa ini.

Di sebuah restoran di Seksyen 13, Shah Alam, aku berjumpa dua rakanku yang cukup rapat. Aku mengenai Haeri dan Apip sejak zaman sekolah. Aku terus menarik kerusi di meja dan melabuhkan punggung

Kami tidak bersalaman, cuma berjabat bro-fist sahaja. Air sirap kenduri bersama ais dan kopi O sudah separuh berbaki di atas meja.

Haeri sebaya denganku. Masih bujang dan berperwatakan agak pendiam. Apabila bersuara, kata-katanya agak berbisa sehingga membuatkan segelintir rakan-rakan tergamam. Seperti perumpamaan lama, diam-diam ubi berisi.

Haeri berani mengutarakan pendapat yang tidak selari dengan norma Melayu dan Islam di Malaysia. Dia seorang pekerja berdedikasi di sebuah syarikat hartanah di Glenmarie untuk dua tahun.

Susuk tubuhnya sederhana kecil namun bergaya ringkas dan tidak berlebih-lebih.

Apip juga sebaya dan aku kenali sejak dari sekolah rendah. Beliau bekerja dalam bidang produksi dengan rakannya. Sudah dua tahun berkahwin dan bakal mempunyai anak.

Apip agak berlawanan sifatnya dengan Haeri. Apip lebih lantang bersuara dan menyuarakan apa ketidakpuasan hatinya. Seorang penggiat seni sejak sekolah.

Aku yang masih kecewa kerana masih belum mendapat kerja berasa berminat apabila mendengar rancangan Haeri untuk mengembara ke Indonesia selama sebulan.

Kawan baikku itu sanggup berhenti kerja untuk memenuhi hajatnya

“Kau nak ikut,?” soal Haeri kepadaku. Apip pula giat memberi galakan.

Haeri menganggarkan kos maksimum RM2,000 untuk perjalanan ini, tanpa mengambil kira kos tiket penerbangan.

Kota Jakarta ditetapkan sebagai destinasi pertama. Selepas beberapa hari, ke Bandung dan seterusnya Jogjakarta, Surabaya, Bromo, Bali dan berakhir di Lombok.

Aku semakin tertarik dengan rancangan kembara itu, tambahan pula apabila digiat oleh Haeri dan Apip.

“Sekarang sudah susah untuk cari masa untuk travel. Kalau dua tiga hari atau seminggu, mana puas,” tambah Apip.

Haeri berkata, aku tidak perlu gusar mengenai faktor keselamatan.

“Selamat atau tak selamat belakang cerita. Di rumah sendiri pun kalau kau jatuh tangga, kira tak selamat juga kan?,” balas Haeri.

Aku masih tidak keruan. Tidak pasti sama ada ingin turut serta atau tidak kerana masih ragu-ragu dengan kedudukan kewanganku.

“Duit boleh dicari!,” ujar Apip dan Haeri serentak.

Aku hanya mampu tunduk dan meminta masa untuk berfikir semasak-masanya. Tempoh sebulan itu cukup lama.

Apip tidak akan turut serta kerana isterinya kini sedang hamil.

“Bini aku mengandung, nanti lari bajet pula. Sebab itulah aku kata, baik kau travel sebelum mula kerja ke, kahwin ke. Nanti langsung tak ada masa dah,” kata Apip sambil tersengih.

Jam sudah menunjukkan pukul 10.30 malam. Suasana di restoran masih sibuk dengan pengunjung yang tidak putus tiba.

Skrin televisyen menayangkan sebuah drama tipikal Melayu yang menggambarkan kehidupan mewah golongan Datuk-Datin serta perniagaan berjuta-juta untuk syarikat holdings itu dan ini.

Gelas minuman kami bertiga sudah surut airnya. Aku meminta diri untuk pulang. Sekali lagi Haeri meminta kepastian sama ada aku akan turut serta.

Soal kerja tu nanti-nantilah. Kerja kuat mana pun, bila syarikat sudah tak sayang, mereka abaikan juga,” giatnya lagi.

“Aku on sajalah!,” kataku yakin sambil menunjukkan isyarat bagus.

“Nice!,” balas mereka berdua. Aku kemudian terus berjalan meninggalkan restoran itu.

[Bersambung ke bahagian seterusnya]

 


 

Ahmad Fauzan Azam seorang punk rocker. Selain menulis untuk zine Dead Sick Society bersama seorang teman, beliau turut menulis certot untuk Charity Zine terbitan Marhaen Litera.

Anak muda ini juga merupakan salah seorang penulis dalam zine LRT dan antologi cerpen 10 Orang Gila keluaran Cukong Press. Impiannya hanya untuk melihat dunia ini lebih aman didiami.

Buku 'Travelog Faghuzi'

Kembara dua orang anak muda ini ke Indonesia mengajar mereka makna hidup.

Mereka melihat kemanusiaan yang dicarik-carik oleh kemiskinan dan penindasan.

Sisi yang terselindung di sebalik keindahan negara ini mengubah perspektif mereka tentang kehidupan.

Untuk pembelian, hubungi Rabak-Lit: Facebook , Twitter , Instagram

Rabak-Lit diusahakan oleh kolektif seni Projek Rabak .

Lihat Komen
ADS