Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Dalang yang didakwa di sebalik pembunuhan pengasas AmBank Hussain Najadi telah dibebaskan kerana ketiadaan 'bukti yang cukup' untuk mendakwanya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Zainuddin Ahmad mengesahkan bahawa Lim Yuen Soo dibebaskan selepas tahanan selama lapan hari.

"Tidak terdapat bukti yang cukup (untuk mendakwanya), jadi kita membebaskannya," katanya kepada Malaysiakini.

Zainuddin berkata Lim dibebaskan selepas polis menjalankan siasatan menyeluruh dan selepas merujuk kes berkenaan kepada Jabatan Peguam Negara.

Walaupun Lim tidak lagi dalam tahanan, Zainuddin mengesahkan bahawa dia masih berada dalam negara ini.

Lim ditahan sekembalinya ke negara ini dari China, awal bulan lalu.

Sementara itu, anak Hussain, Pascal Najadi, membidas pembebasan berkenaan dan berkata keputusan tersebut tidak dapat diterima.

"Ia satu kejutan yang besar dan tidak boleh diterima oleh mana-mana piawaian antarabangsa.

"Bagaimana pembunuh boleh dibebaskan? Kami bantah pembebasan itu," kata Pascal yang kini berada di Moscow, Russia.

Dakwanya, apa yang berlaku seolah-olah ada campur tangan untuk menutup kes tersebut.

"Soalan serius tentang keadilan yang tidak lagi berfungsi di Malaysia mesti dijawab,” katanya.

Lim dilaporkan ‘mengarahkan’ pembunuhan Hussain pada tahun 2013.

Ahli perniagaan itu didakwa membayar Kong Swee Kwan sebanyak RM20,000 untuk menembak Hussain yang dilaksanakannya pada 29 Julai 2013 berhampiran Jalan Ceylon, Kuala Lumpur.

Kong ditangkap pada September 2013 dan dihukum mati setahun kemudian.

Bagaimanapun Lim sukar dikesan walaupun polis mengumumkan pada Oktober 2013 bahawa mereka telah mendapatkan bantuan Interpol untuk menjejakinya.

Dia dikatakan melarikan diri ke Australia hanya tiga hari selepas pembunuhan itu.

Pascal berkata, keluarganya akan mendapatkan bantuan daripada Australia untuk mengekstradisi Lim.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS