Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Lebuh raya bukan penyelesaian mutlak masalah pengangkutan

Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali percaya pembinaan lebuh raya bukan penyelesaian mutlak kepada masalah pengangkutan di negeri itu.

Menurutnya, tekanan yang pesat di Selangor melebihi kemampuan kapasiti sistem pengangkutan sedia ada.

"Kerajaan negeri tegaskan bahawa hasrat kerajaan negeri untuk realisasikan nisbah pengangkutan awam dengan persendirian ialah 60:40 berbanding SPAD (Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat) 40:60.

"Tekanan yang pesat di Selangor melebihi kemampuan kapasiti sistem pengangkutan sedia ada. Lebuhraya bukanlah penyelesaian mutlak kepada masalah pengangkutan. Perlu ambil kira pandangan ramai," katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Sementara itu, Azmin juga berkata, pihak Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas) telah mengemukakan reka bentuk baru untuk jajaran terakhir pembinaan Lebuhraya Damansara Shah Alam (DASH) kepada penduduk di Damansara Utama.

Katanya, reka bentuk itu dikemukakan kepada penduduk selepas perbincangan dan inisiatif dibuat bersama Kementerian Kerja Raya yang dibuat sebelum ini.

"Saya ambil inisiatif selepas dengar respon daripada penduduk di Damansara Utama untuk adakan perbincangan dengan menteri kerja raya bersama pegawai tertinggi kementerian pada 19 Mac 2015.

"Saya minta kerajaan Persekutuan ambil kira pandangan penduduk pada jajaran terakhir yang melalui Damansara Perdana. Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Prolintas ambil langkah untuk pertimbangkan bantahan itu dan ketika ini sedang berlaku perbincangan dengan penduduk.

"Prolintas dah kemukakan reka bentuk baru untuk jajaran terakhir dan dikemukakan kepada penduduk untuk mendapat maklum balas," katanya yang menjawab soalan daripada Shahrum Mohd Sharif (BN-Dengkil)..

Sebelum ini, Azmin memberitahu, kerajaan Selangor belum membuat keputusan berhubung pembinaan Lebuhraya DASH selagi alternatif lain belum ditemui oleh pemaju.

Beliau juga berkata, pihaknya telah memaklumkan LLM dan Kementerian Kerja Raya supaya berbincang dengan pemaju supaya mencari alternatif memandangkan jajaran terakhir dibantah penduduk.

Lihat Komen
ADS