Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Kerajaan Selangor masih belum membuat keputusan berhubung pembinaan Lebuhraya Damansara-Shah Alam (DASH) selagi alternatif lain masih belum ditemui oleh pihak pemaju, kata Menteri Besar Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata pihaknya telah memaklumkan kepada Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Kementerian Kerja Raya supaya berbincang dengan pemaju supaya mencari alternatif itu memandangkan ada jajaran yang dibantah oleh penduduk.

"Saya telah bertemu dengan wakil-wakil penduduk, bersama-sama dengan ahli parlimen, ahli Dewan Negeri termasuk juga pertubuhan yang setuju dengan pembinaan lebuh raya tersebut.

"Pada prinsipnya semua memerlukan pembinaan lebuh raya yang berkenaan, tetapi ada jajaran (cadangan laluan) yang dibantah oleh penduduk.

"Jadi saya telah meminta menteri kerja raya dan juga LLM bersama juga pemaju yang berkenaan untuk mengadakan perbincangan dengan penduduk untuk melihat apakah alternatif lain yang boleh dicadangkan sebelum satu keputusan muktamad diambil oleh kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan,” katanya.

Beliau yang juga timbalan presiden PKR berkata pemberita selepas merasmikan Pusat Digital Kreatif Selangor di I-City Shah Alam, hari ini.

Walaupun sebahagian besar jajaran lebuh raya itu tidak menerima sebarang bantahan, namun Azmin menggesa agar pihak berkuasa pembinaan mengambil perhatian berhubung bantahan penduduk juga.

"Belum ada keputusan muktamad sebab pemaju perlu menyelesaikan dengan penduduk tentang satu jajaran yang ada bantahan, dan kita minta perkara ini diambil perhatian walaupun sebahagian besar jajaran itu dipersetujui untuk menyuraikan kesesakan lalu lintas

"Tetapi ada satu sektor yang melalui kawasan perumahan yang agak sesak dan itu ada bantahan dari penduduk, dan kita ambil pendirian terbuka untuk mendengar bantahan itu dan melihat kepada alternatif lain untuk menyelesaikan masalah trafik di sepanjang lebuh raya berkenaan,” katanya.

Tahun lalu Azmin berjanji untuk mengkaji semula semua projek lebuh raya yang melibatkan kerajaan Selangor.

Kerajaan negeri itu turut membuka ruang bantahan berdasarkan laporan tinjauan Kajian Rancangan Struktur Negeri Selangor 2035 yang turut melibatkan projek kontroversi pembinaan Lebuh Raya Kinrara-Damansara (KIDEX).

Azmin berkata kerajaan negeri akan mengambil kira semua pandangan dan bantahan ke atas laporan tinjauan tersebut, yang akan dikemukakan untuk penyediaan Draf Rancangan Struktur Negeri Selangor 2035.

Lihat Komen
ADS