Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Dua pegawai kanan Majlis Amanah Rakyat (MARA) tersingkir daripada agensi itu selepas kontrak mereka tidak disambung atau ditamatkan kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Dalam kenyataannya hari ini, Ismail Sabri berkata mereka ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MARA Inc, Datuk Abdul Halim Rahim dan Pengerusi MARA Inc, Datuk Mohammad Lan Allani.

Katanya, kontrak Abdul Halim berakhir pada bulan lalu, manakala bagi Mohamad Lan, kontrak beliau sepatutnya tamat pada Mac 2016.

Bagaimanapun kontrak itu ditamatkan pada 1 Oktober lalu.

"Kerajaan ada calon baru untuk mengisi kekosongan jawatan pengerusi dan CEO," katanya kepada media di parlimen hari ini.

Perkhidmatan Mohammad Lan dan Abdul Rahim sebelum ini digantung ekoran pendedahan mengenai pembelian harta tanah oleh MARA Inc Melbourne, Australia.

Menurut media pihak berkuasa Australia menyiasat pembelian Dudley International House itu kerana mendapat transaksi dijalankan pada harga melambung dan mungkin membabitkan sogokan beberapa pegawai Malaysia.

Menteri boleh lucut

Akhbar harian Australia, The Age mendakwa beberapa pegawai atasan MARA serta bekas ahli politik membelanjakan RM65 juta dana awam bagi membeli blok apartmen dan ia adalah RM13.7 juta lebih tinggi daripada sepatutnya.

Ismail Sabri berkata Ahli Lembaga MARA akan bermesyuarat pada 8 November ini untuk meluluskan pelantikan pegawai baru yang akan berkhidmat selama dua tahun.

Menurut Ismail Sabri, jawatan pengerusi itu tidak disertakan kontrak perjabatan kerana ia adalah lantikan politik.

Justeru, katanya, sebagai seorang menteri beliau juga boleh melucutkan jawatan berkenaan jika dirasakan perlu dan tiada pampasan perlu diberikan.

Ditanya jika siasatan nanti mendapati kedua-dua mereka tidak terbabit dalam sebarang salah laku, Ismail Sabri berkata: "Itu saya rasa kita akan tengok dan kita tak boleh putuskan".

"Buat masa ini (sebelum pengerusi baru dilantik) syarikat itu dikawal oleh lembaga pengarah," katanya.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS