Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Tan Sri Annuar Musa mengumumkan dua pegawai kanan badan itu direhatkan buat sementara waktu bagi tujuan siasatan.

Jawatan yang disebut adalah Pengerusi MARA Inc Sdn Bhd dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MARA Inc Sdn Bhd.

Semakan menunjukkan Pengerusi Mara Inc ialah Datuk Mohammad Lan Allani  manakala CEO untuk MARA Inc ialah Dato Abd Halim A Rahim.

Annuar berkata, kedua-dua pegawai kanan terbabit dilepaskan sementara daripada tugas bagi membolehkan urusan siasatan berlaku tanpa sebarang gangguan atau dituduh memastikan mereka tidak dituduh pada perkara yang bukan-bukan.

Katanya, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat khas Majlis MARA dan berkuat kuasa serta-merta.

Menurut beliau, tindakan itu bagaimanapun tidak bermakna kedua-dua pegawai kanan terbabit melakukan kesalahan.

"Ini nak jaga integriti MARA selari dengan komitmen kita," katanya.

Ditanya berapa lama tempoh masa bagi kedua mereka yang direhatkan, Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata, ia bergantung kepada siasatan.

Lantik juruaudit PwC

MARA menjadi perhatian baru-baru ini ekoran pembelian bangunan Dudley International House di Melbourne, Australia, yang didakwa diperoleh pada harga jauh lebih tinggi daripada pasaran.

Annuar berkata, MARA turut melantik juruaudit daripada Pricewaterhouse Coopers (PwC) bagi mengendalikan urusan pengauditan lebih mendalam terutama membabitkan isu berkaitan dengan perolehan aset MARA Inc Sdn Bhd di luar negara.

"Majlis MARA mendapati ada keraguan munasabah dalam banyak perkara berkaitan urusan pembelian hartanah di Australia.

Sementara itu, kata Annuar, MARA sedang memberi kerjasama dan komitmen penuh dalam membantu Suruhanjaya Pencegah Rasuah (SPRM) menjalankan siasatan ke atas semua aset pelaburan milik MARA inc Sdn Bhd diluar negara.

Katanya lagi, Majlis MARA turut mengambil maklum kenyataan PDRM bahawa tidak ada unsur pecah amanah dalam kes ini.

"Namun, MARA akan menemui pihak PDRM dalam masa terdekat dan memberikan kerjasama," katanya.

Lihat Komen
ADS