'Menteri main golf, beli-belah dengan wang anak yatim'

Zikri Kamarulzaman        

Lawatan seorang menteri Umno ke Amerika Syarikat dengan perbelanjaan RM410,978 didakwa dibayar oleh Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim).

Ia didakwa dibayar melalui dana sebuah anak syarikat yang sepatutnya digunakan untuk anak yatim dan kanak-kanak miskin, dakwa Pengarah Pusat Pemantauan dan Pendedahan Maklumat Kebangsaan (NOW) Akmal Nasir.

Memetik invois yang dibilkan kepada Yayasan Pembangunan Anak Yatim/Miskin (PEMANGKIN) yang diperolehnya, Akmal mendakwa lawatan ke Washington DC, Iowa dan Minnesota daripada 21 hingga 29 Mei 2014 itu membabitkan aktiviti golf dan kunjungan ke pusat membeli-belah.

Akmal mendakwa isteri menteri itu juga merupakan sebahagian daripada rombongan tersebut.

Invois yang diperolehnya menunjukkan bahawa RM274,493 dibelanjakan untuk tiket penerbangan pergi balik untuk menteri itu dan isterinya.

Lain-lain perbelanjaan yang dibelanjakan untuk menteri itu termasuk RM1,658.96 untuk golf, RM1,565.98 untuk majlis makan malam dan RM3,200.72 untuk cenderahati.

Penginapan untuk menteri itu dan isterinya selama tiga malam berjumlah RM2,675.43.

Malaysiakini tidak menyiarkan nama menteri itu sehingga mendapat respons beliau terhadap pertanyaan kami.

Yapeim berkata sedia disiasat dan memberi kerjasama penuh berhubung sebarang dakwaan salah laku melibatkan badan itu, kata ketua pengarahnya.

Beliau yang juga ketua pegawai eksekutif Kumpulan Yapeim menegaskan, pihaknya sentiasa berpegang kepada prinsip syariah dan nilai integriti yang tinggi dalam urusan dan operasi.

Yapeim ditubuhkan pada Oktober 1976 untuk memfokuskan kepada kerja kebajikan melalui pendekatan membangunkan ekonomi Islam dengan melibatkan diri dalam sektor perniagaan.

Tak benar, kata menteri

Dalam perkembangan terkini Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata dakwaan beliau menyalahgunakan wang untuk bersura-ria adalah tidak benar.

Beliau menuntut Akmal menarik balik “fitnah jahat” itu serta memohon maaf secara terbuka dalam tempoh 24 jam atau akan berdepan tindakan saman di mahkamah.

[Baca berita penuh]

Jamil Khir: Akmal mesti mohon maaf atau disaman

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In