Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pantai Kasih kekal teks Komsas tingkatan 4
Diterbitkan:  Feb 12, 2016 4:47 PM
Dikemaskini: 9:09 AM

Novel Pantai Kasih karya Azmah Nordin tetap digunakan bagi sesi pengajaran dan pembelajaran komponen sastera (Komsas) tingkatan empat meskipun terpalit dengan unsur lucah.

Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Dasar dan Pembangunan Pendidikan), Datuk Seri Khairil Awang berkata keputusan itu dibuat kerana novel tersebut dapat mendidik pelajar berdepan dengan realiti kehidupan.

"Ahli mesyuarat Kementerian Pendidikan Malaysia sebulat suara memutuskan novel Pantai Kasih edisi murid karya Azmah Nordin akan terus digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran murid tingkatan empat bagi zon tiga yang melibatkan Melaka, Pahang, Kelantan dan Terengganu.

"Perbincangan tersebut memutuskan bahawa novel ini juga mempunyai elemen kebolehajaran dari aspek keindahan bahasa, kosa kata dan tatabahasa. Novel ini turut dapat merangsang murid untuk berfikir secara matang dan rasional dalam membuat justifikasi," katanya di sidang media di Putrajaya, hari ini.

Isu novel Pantai Kasih menjadi perhatian apabila beberapa pihak tampil mempertikaikan kesesuaiannya dijadikan bahan pembelajaran subjek Komsas tingkatan empat.

Selain kualiti sastera yang dilihat tidak cukup meyakinkan, kewujudan unsur lucah dalam novel itu juga tidak disenangi ramai atas faktor kesesuaian usia pembaca.

Mengulas lanjut, Khairil berkata teks Komsas itu mempunyai semua elemen yang memerlukan murid menaakul, menganalisis, mengaplikasi, menilai dan mencipta.

Khairil juga mendakwa novel tersebut sarat dengan pelbagai isu kemanusian yang boleh dibincangkan, dihuraikan serta diungkap pelbagai masalah yang menimbulkan kesan baik dan buruk.

“Semua elemen itu mendorong kepada proses pemikiran divergen (mencapah) dan konvergen iaitu murid tidak lagi dikongkong oleh pengetahuan atau pengalaman sedia ada tetapi berfikir secara kreatif untuk mencari idea baru yang sesuai untuk menyelesaikan masalah yang mempunyai pelbagai jawapan,” kata Khairil.

Malah, Khairil berkata setiap karya yang dipilih kementerian sebagai teks Komsas melalui proses penyaringan dan pemilihan yang ketat selari dengan tuntutan dan cabaran hidup yang kompleks dalam alaf ke 21.

Lihat Komen
ADS