Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Persatuan Penulis Nasional (PENA) menggesa agensi antirasuah negara dilibatkan dalam isu pemilihan teks Pantai Kasih sebagai bahan subjek Komponen Sastera (Komsas) kali ini.

Kata Setiausaha Agung PENA, Syed Mohd Zakir Syed Othman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu melakukan siasatan menyeluruh kerana naskhah berkenaan pada asalnya tidak tersenarai untuk dipertimbangkan panel penilai.

Bagaimanapun, katanya, naskhah berkenan hanya muncul di peringkat akhir penilaian.

“Seperti kata panel (penilai), mereka tidak menemui novel ( Pantai Kasih ) pada peringkat pertama, tapi novel ini cuma muncul di akhir. Justeru ia menimbulkan tanda tanya.

“SPRM perlu menjalankan siasatan bagi membersihkan kalau ada penyelewengan,” katanya kepada Malaysiakini di Rumah PENA, Kuala Lumpur hari ini.

Siasat jika ada

Sebelum itu Syed Mohd Zakir menyertai program Dialog Orang Muda yang turut menampilkan panel lain, Raiha Baharudin dan Zariff Hassan.

Isu Pantai Kasih menjadi perhatian apabila pelbagai pihak mempertikaikan kesesuaiannya untuk dijadikan bahan pembelajaran Komsas tingkatan empat.

Selain tahap kualiti sastera yang tidak cukup meyakinkan, kewujudan unsur seks juga tidak disenangi ramai.

Syed Mohd Zakir berkata siasatan perlu diadakan kerana hasil royalti naskhah berkenaan didakwa tidak diberikan kepada penulis sebaliknya penerbit novel berkenaan.

“Saya rasa banyak perkara yang meragukan (kerana) nampak lebih mementingkan penerbit dan bukan penulis," katanya.

Beliau yang lebih dikenali dengan nama pena S M Zakir turut meminta Kementerian Pelajaran memastikan penulis novel itu sudah mendapat bayaran sepatutnya atau tidak.

Kesamaran status itu, katanya, menyebabkan wujud persepsi yang meragukan.

“Jadi ada keperluan bawa SPRM masuk untuk bersihkan, bawalah. Kita bukan (nak) buat tuduhan tapi (untuk menjelaskan keadaan) jika ada (unsur rasuah),” katanya.

Lihat Komen
ADS