Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Lim minta Rahman jangan jadi 'menteri khabar angin'

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng hari ini menafikan dakwaan Pengarah Strategik Komunikasi BN Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan yang mengatakan tanah Taman Manggis di Pulau Pinang dijual kepada pihak ketiga.

Malah, Lim juga menafikan dakwaan bahawa saham syarikat yang memiliki tanah tersebut- Kuala Lumpur International Dental Centre Sdn Bhd (KLIDC) dijual kepada pihak ketiga.

Menurut anggota parlimen Bagan itu, tuduhan Abdul Rahman tidak berasas kerana hasil daripada semakan di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menunjukkan syarikat KLIDC masih dimiliki oleh pemegang saham yang sama dan tidak seperti yang didakwa menteri berkenaan.

"Jangan buat tohmahan, tuduhan tanpa asas. Tak nak nanti digelar menteri khabar angin atau fitnah.

"Pagi ini dia ulang tuduhan KLIDC telah dijual kepada syarikat lain. Ini bukan cerita baru. Ini nasi goreng basi.

"Tuduhan ini saya dah jawab sebelum ini. Saya telah sebut, bahawa geran tanah jelas membuktikan ia masih milikan KLIDC. Ini menangkis tuduhan tanah ini telah ditukar kepada syarikat lain. Ini fakta, tanah masih dipegang KLIDC dan ia dibuat secara tender terbuka," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Serangan peribadi

Lim turut mengedarkan beberapa dokumen kepada pihak media bagi membuktikan pemilik saham syarikat KLIDC tidak berubah.

Selain itu, setiausaha agung DAP itu juga berkata, pihak kerajaan negeri juga sebelum ini tidak tahu tentang sebarang urusan penyerahan tanah tersebut kepada syarikat lain.

"Dia (Abdul Rahman) cakap saham telah ditukar kepada orang lain. Kerajaan negeri tidak pernah menerima apa-apa surat syarikat untuk serah tanah ini kepada syarikat lain. Jika mahu (tukar syarikat lain), perlu dapat kebenaran kerajaan negeri.

"Saya tak faham asas tuduhan Abdul Rahman Dahlan. Dia cuba serang peribadi untuk tamatkan kerja politik Pakatan Harapan di Pulau Pinang. Tapi tolonglah ikut fakta juga.

"Saya tak tahu perjanjian (tukar milikan saham) itu. Dia tahu perjanjian yang saya tak tahu. Yang kita cakap adalah fakta, KLIDC masih pemegang saham. Tak ada perubahan," katanya lagi.

Minta penjelasan

Sehubungan itu, beliau meminta supaya anggota parlimen Kota Belud itu memberikan penjelasan berhubung dakwaannya awal pagi ini.

Katanya, perkara itu sepatutnya diterangkan oleh Abdul Rahman dan bukan dirinya.

"Dia buat serangan peribadi. Saya nak tanya dia, apa dah jadi? Saya rasa beliau yang kena terangkan bukan saya," kata Lim lagi.

Pagi ini Abdul Rahman mendedahkan beberapa dokumen bagi menyangkal kenyataan Lim bahawa Taman Manggis tidak dijual kepada pihak ketiga.

Antara yang didedahkan ialah dokumen perjanjian untuk menjual semua saham syarikat yang memiliki tanah tersebut kepada syarikat lain yang terletak di Aman Suria, Petaling Jaya.

Bagaimanapun, nama syarikat yang membeli saham berkenaan dipadamkan daripada dokumen bertarikh 11 November 2015 yang diedarkan kepada media hari ini.

Abdul Rahman mendakwa, penjualan saham KLIDC itu mempunyai kesan sama seperti menjual tanah Taman Manggis itu juga.

Lihat Komen
ADS