Tujuh aktivis pelajar pusat pengajian tinggi tempatan ditangkap ketika mengadakan satu perhimpunan menentang Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di depan Masjid Negara selepas sembahyang Jumaat tengahari tadi.

Mereka kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di Jalan Stadium, Kuala Lumpur dan dijangka dibebaskan esok.

Dua pelajar yang ditahan itu daripada Universiti Kebangsaan Malaysia, dua lagi daripada Universiti Malaya dan seorang Universiti Teknologi Mara. Sementara dua lagi pelajar terbabit belum dikenal pasti.

Perhimpunan aman itu yang dihadiri lebih kurang 200 orang bertukar tegang apabila polis mengarahkan mereka bersurai. Polis cuba memecahkan kumpulan itu yang saling berpegangan tangan tangan antara satu sama lain, ketika seorang pemimpin pelajar sedang berucap.

Polis juga merampas dua kain rentang dan sepanduk yang dibawa pelajar. Kumpulan pelajar itu, termasuk wanita, beredar selepas setengah jam kemudian.

Dua belas kumpulan pelajar menganjurkan perhimpunan itu sempena genap dua bulan tujuh aktivis pembangkang ditahan di bawah akta itu mulai 10 April lalu. Antaranya Gabungan Mahasiswa Islam Semenanjung (Gamis), Barisan Bertindak Mahasiswa Negara (BBMN), Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Sekretariat Pelajar Persatuan Ulama Malaysia (SPPUM) dan Gerakan Demokratik Belia dan Pelajar Malaysia (Dema).

Mereka melaungkan 'Allah-u-Akbar' dan 'Mahasiswa Bersatu, Mansuhkan ISA.'

Penyelaras gabungan itu 'Gerakan Mahasiswa Mansuhkan ISA' (GMMI), Syahril Mahmood, membacakan 'deklarasi Masjid Negara' yang menuntut empat perkara, antaranya membebaskan semua tahanan tanpa syarat dan menggesa Ketua Polis Negara bertindak lebih telus dan profesional.

Syahril memberitahu malaysiakini , perhimpunan itu sepatutnya berjalan secara aman dan wakil setiap kumpulan pelajar berucap.

Kumpulan pelajar yang sama menghantar memorandum kepada Ketua Polis Negara Tan Sri Norian Mai pada 11 Mei lalu. Memorandum itu antara lain menggesa akta itu dimansuhkan.