Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
WSJ: FBI teliti pembelian hartanah mewah anak tiri PM
Diterbitkan:  May 12, 2016 1:00 PM
Dikemaskini: 7:44 AM

Biro Siasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat (AS) sedang meneliti pembelian dua harta tanah mewah anak tiri perdana menteri Riza Aziz, dalam siasatannya terhadap 1MDB.

Para penyiasat percaya sekurang-kurangnya AS$50 juta dari 1MDB dibelanjakan untuk harta tanah di New York dan Los Angeles, lapor The Wall Street Journal (WSJ).

“Pembiayaan terhadap pemerolehan itu bawah siasatan FBI, yang menjalankan siasatan luas terhadap dakwaan salah guna berbilion ringgit daripada 1MDB, menurut pihak yang mengetahui siasatan itu,” lapor WSJ.

Riza, seorang penerbit di Hollywood, membeli harta tanah di New York pada November 2012 dengan harga AS$33.5 juta.

Pada 2010, beliau membeli harta tanah AS$17.5 juta di Los Angeles.

Harian AS itu sebelum ini melaporkan dakwaan bahaya syarikat Riza Red Granite Pictures menerbitkan filem blockbuster The Wolf of Wall Street dengan wang daripada 1MDB.

Kertas siasatan yang dilihat WSJ menunjukkan dana-dana itu datang daripada Aabar Investments PJS – syarikat yang didaftarkan di British Virgin Island (BVI).

Kesemua kertas siasatan pihak berkuasa Malaysia diletakkan bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).

1MDB berkata ia ditipu untuk memindahkan AS$350 juta kepada Aabar BVI, yang dipercayai mempunyai kaitan dengan syarikat Abu Dhabi, International Petroleum Investment Corporation (IPIC).

IPIC, yang mahukan bayaran kerana menjamin bon 1MDB, menafikan kaitannya denganAabar BVI.

Ia kemudian membawa kepada keingkaran bayaran faedah 1MDB susulan pertikaian itu.

Malaysiakini sudah menghubungi Red Granite bagi mendapatkan reaksinya.

Jurucakap Red Granite memberitahu WSJ tiada apa yang tidak kena berkaitan sebarang aktiviti perniagaan Red Granite Pictures.

Katanya, mereka hanya menghasilkan filem yang berjaya dan menghasilkan lebih $825 juta dalam bentuk hasil box-office seluruh dunia.

Jurucakap itu juga berkata Red Granite “menjawab semua pertanyaan dan bekerjasama penuh”.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebelum ini mengarahkan Jabatan Audit Negara menyemak sama ada dana 1MDB digunakan untuk membiayai filem itu.

Laporan Ketua Audit Negara berkaitan 1MDB dikategorikan bawah Akta Rahsia Rasmi, walaupun ia telah dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

Lihat Komen
ADS