Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Shamsul: Waspada Anwar bukan henti kerja dengan Mahathir

Ingatan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya parti itu berwaspada dan tidak terpedaya dengan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tidak bermakna kerjasama antara kedua-dua pihak perlu dihentikan, kata naib presiden PKR, Shamsul Iskandar Md Akin.

“Berwaspada bagi saya suatu perkataan yang positif misalnya kita diminta berwaspada (apabila berada) di jalan raya, takkan tak nak guna jalan raya.

"Logik yang sama berlaku di sini," katanya yang juga adalah Ahli Parlimen Bukit Katil kepada pemberita di luar lobi Parlimen hari ini.

Menurutnya, PKR bebas untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak bagi melawan kerajaan, dan ini termasuk dengan Mahathir.

Apabila ditanya tentang mengapa semalam beliau mendakwa surat Anwar itu adalah palsu, seorang lagi rakan naib presiden PKR Nurul Izzah Anwar yang turut hadir menepisnya.

"Beliau (Shamsul) tidak jumpa saya semalam jadi jangan ganggunya," katanya.

Nurul Izzah sendiri enggan mengulas mengenai surat ayahnya itu dan berkata beliau memerlukan masa untuk menelitinya.

Sementara itu, whip PKR Datuk Johari Abdul ketika ditemui pemberita berkata terpulang kepada mana-mana individu sama ada untuk menyokong Deklarasi Rakyat yang diterajui oleh Mahathir.

"Sesetengah mereka, bermula sejak PKR dan reformasi dihidupkan. Mereka melihat Mahathir sebagai perdana menteri dan masih tidak dapat melupainya, jadi mereka menjauhkan diri daripada menyokongnya.

"Tidak mengapa, ada yang lain menyokong juga," kata Johari.

Anwar dalam suratnya semalam mendakwa Deklarasi Rakyat yang diterajui Mahathir untuk menggulingkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebagai tidak sempurna dan bukannya mahu membuat pembaharuan yang sebenar.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS