Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata terlalu awal untuk David Cameron meletak jawatan sebagai perdana menteri British.

"Kita faham sentimen British mungkin begitu (tetapi) yang mengejutkan kita, perdana menteri British meletak jawatan dalam keadaan Britain itu sendiri memerlukan kepimpinan.

"Saya kira terlalu awal untuk beliau meletak jawatan. Sepatutnya buat (selepas) keadaan lebih stabil sedikit," katanya kepada media selepas menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di PWTC Kuala Lumpur hari ini.

Britain memutuskan keluar dari Kesatuan Eropah (EU) selepas pungutan suara dijalankan mendapati majoriti penduduk memilih begitu.

Ekoran keputusan berkenaan Cameron mengumumkan peletakan jawatannya sebagai perdana menteri mulai Oktober ini.

Mengulas lanjut Abdul Rahman yang juga pengarah komunikasi strategik BN berkata keputusan pungutan suara itu juga bermakna semua pihak perlu mengambil langkah berhati-hati dan berharap ekonomi negara tidak terjejas dengan teruk.

Pada masa sama kata Abdul Rahman apabila sesuatu krisis berlaku akan timbul pula beberapa peluang.

"Sebagai contoh, pelaburan di UK. Jika nilai pound sterling British murah (ia) akan membolehkan kita membeli lebih banyak barangan," katanya.

Namun secara keseluruhan kata Abdul Rahman perkembangan terbaru itu menimbulkan kebimbangan terhadap kemungkinan yang boleh berlaku di pasaran antarabangsa.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS