Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
'Bagaimana status Selangor jika DAP kafir harbi?'
Diterbitkan:  Jun 25, 2016 2:37 PM
Dikemaskini: 6:46 AM

Mufti Pahang Datuk Seri Abdul Rahman Osman diminta menyatakan pendiriannya terhadap Umno yang memerintah negara ini tanpa melaksanakan hudud dan bersekutu dengan MCA.

Kata Penolong Setiausaha Publisiti DAP Johor Sheikh Omar Ali pendirian itu perlu selepas Abdul Rahman menganggap parti itu sebagai "kafir harbi".

Kata Sheikh Omar, Umno bersahabat dengan MCA ketika parti berkenaan dilihat secara terang-terang menolak hudud dengan keras.

Pada masa sama katanya DAP yang dianggap "kafir harbi" oleh Abdul Rahman kini sebahagian daripada kerajaan Selangor sejak 2008 selepas mendapat perkenan sultan negeri itu.

"Jika DAP kafir harbi, apakah pendirian beliau terhadap kerajaan Selangor yang diterajui PAS, PKR dan DAP?" katanya dalam kenyataan media hari ini.

Semalam Utusan Malaysia melaporkan Abdul Rahman menganggap DAP tergolong dalam kumpulan "kafir harbi" dan wajib ditentang umat Islam.

Justeru, lapor Utusan Abdul Rahman berpendapat berdosa besar bagi mana-mana umat Islam bersekongkol dengan DAP.

Bagaimanapun ketika dihubungi Malaysiakini kemudian Abdul Rahman berkata dia tidak merujuk istilah kafir harbi itu kepada DAP semata-mata, sebaliknya "semua pihak yang menentang Islam."

“Istilahnya menentang, kalau tak menentang bukanlah (kafir harbi)," katanya.

Berbaur kebencian

Ia bukanlah kali pertama Abdul Rahman dilihat berseteru dengan DAP.

Tahun lalu Abdul Rahman mempertahankan kandungan khutbah Aidiladha yang menyatakan DAP sebagai parti "yang terang-terangan menentang Islam."

Kata Sheikh Omar dia juga tertanya-tanya sama ada Abdul Rahman sudah membuat sebarang rujukan dengan mana-mana pihak - seperti Majlis Fatwa Kebangsaan - sebelum melabelkan DAP.

Kenyataan mufti Pahang itu kata Sheikh Omar juga boleh membawa maksud darah seluruh ahli DAP, termasuk beragama Islam, halal.

"Bagaimana jika sebentar lagi ada mana-mana orang yang terjumpa mana-mana ahli DAP dan membunuh mereka kerana mengikut hukum yang dikeluarkan oleh Mufti Pahang ini?" katanya.

Sementara itu Ahli Majlis Eksekutif Dapsy Dyana Sofya Mohd Daud berkata kenyataan dibuat mufti berkenaan jelas berbaur kebencian dan menggunakan nama Islam dan kedudukannya memburukkan DAP demi kepentingan politik.

"Niat sebenar kenyataan mufti Pahang tersebut amat dicurigai dan langsung tidak membawa mesej keharmonian dan keamanan yang dibawa oleh Islam, malah mirip kepada wacana keganasan eksterimis Daesh.

"Berulang kali DAP menegaskan bahawa parti ini tidak pernah menentang Islam, malah mengamalkan etika dan nilai-nilai murni universal yang diterima oleh semua agama," katanya.

Kata Dyana Sofya pendirian DAP menyokong negara sekular bukan bermakna mereka menentang Islam.

Katanya negara sekular meraikan demokrasi dan membenarkan semua rakyat - termasuk orang Islam - bebas tanpa paksaan.

Di bawah sistem begitu, katanya, hak-hak asasi manusia dihormati secara sama rata dan tanpa diskriminasi terhadap semua orang tanpa mengira kaum dan agama.

"Malah kedudukan Malaysia sebagai negara sekular telah diiktiraf sekurang-kurangnya tiga mantan perdana menteri Malaysia," katanya.

Lihat Komen
ADS