Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

DAP menggesa supaya Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) memohon maaf berhubung teks khutbah sempena Aidiladha yang didakwa sebagai menghina parti itu.

Menurut Pengerusi DAP Pahang Tengku Zulpuri Shah Raja Puri, teks khutbah yang dibacakan oleh mimbar sempena Hari Raya Aidiladha Khamis lalu mendakwa DAP sebagai sebuah parti yang menentang Islam.

Sehubungan itu, Tengku Zulpuri memberi masa selama lima hari bermula hari ini untuk JAIP memohon maaf secara terbuka serta menarik balik teks khutbah tersebut atau berdepan dengan tindakan undang-undang.

"DAP Pahang akan hantar surat pada Jabatan Agama Islam Pahang atau bahagian mufti yang menuntut mereka menarik balik ucapan berbaur fitnah serta memohon maaf secara terbuka melalui media elektronik dalam masa lima hari dari hari ini.

"Sekiranya tiada tindakan atau balasan dari pihak Jabatan Agama Islam Pahang, kami secara individu iaitu orang beragama Islam dalam DAP akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Jabatan Agama Islam Pahang yang keluarkan khutbah ini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di ibu pejabat DAP hari ini.

Teks khutbah Aidiladha itu menyebut:

"Dewasa ini kita melihat perpecahan umat Islam di negara kita terutama bangsa Melayu begitu ketara. Perpecahan ini kerana mengutamakan parti politik melebihi perpaduan dan persaudaraan Islam seperti Umno, PAS, PKR dan ditambah parti baru yang dinamakan Gerakan Harapan Baru (GHB). Malahan ada di kalangan umat Islam yang menyertai parti DAP yang terang-terangan menentang Islam.

"Sepatutnya umat Islam bergabung dan bersatu suara walaupun berlainan dasar politik mereka..."

Sidang media itu turut dihadiri oleh Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang, sasterawan negara yang baru menyertai DAP Datuk A Samad Said serta pakar perundangan yang turut menyertai DAP Julai lalu Dr Abdul Aziz Bari.

Selain itu, Tengku Zulpuri yang juga ADUN Mentakab berkata, ahli DAP Melayu dan beragama Islam menyelar teks khutbah itu kerana mereka tidak pernah menentang mana-mana rukun Islam.

"Menuduh DAP Melayu Islam menentang Islam, apa yang kami tentang? Rukun Islam ada lima perkara dan kami percaya lima rukun itu. Kami tak pernah cakap dan bantah rukun Islam ini tak ada.

"Dan kami tak ada menyeru supaya sembahyang dua imam. Tak pernah berlaku. Tak pernah suruh baiah gadai isteri. Tak pernah," katanya lagi.

Islam diakui agama rasmi

Sementara itu, bagi A Samad atau Pak Samad pula, pihak jabatan agama Islam dilihat keterlaluan apabila menggunakan khutbah untuk mendakwa orang Melayu yang menyertai DAP sebagai seorang penentang Melayu.

"Tak ada bayangan bahawa DAP ini menyalahi akidah. Jadi jangan guna alasan rambang bahasa Melayu yang menyertai DAP sebagai alat yang mencemar agama dan menentang Melayu," katanya.

Bagi Abdul Aziz pula, beliau menyelar tindakan JAIP itu dengan mengatakan bahawa ia mungkin boleh didakwa bawah Akta Hasutan kerana mendakwa DAP sebagai sebuah parti anti-Islam.

Katanya, DAP secara konsisten menjelaskan bahawa Islam merupakan agama rasmi dan agama Persekutuan. Justeru, tiada alasan untuk mana-mana pihak mendakwa DAP sebagai sebuah parti yang anti-Islam.

"Adalah salah untuk melabel sedemikian dan mungkin boleh didakwa bawah Akta Hasutan kerana mengatakan DAP anti-Islam sedangkan parti ini telah menyatakan komitmen mereka bahawa Islam sebagai agama rasmi.

"Ini adalah pendirian kami (DAP) dalam polisi rangka kerja parti. Jadi tak ada debab untuk orang mengatakan bahawa parti ini menentang Islam," kata bekas pensyarah itu.

Lihat Komen
ADS