Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
IGP siasat kesahihan dokumen audit 1MDB Sarawak Report

Polis akan menyiasat laman web pendedah maklumat, Sarawak Report mengikut Akta Rahsia Rasmi (OSA) kerana membocorkan laporan Ketua Audit Negara ke atas 1MDB, tetapi hanya selepas mengesahkan bahawa dokumen berkenaan adalah sahih, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar hari ini.

"Kita tidak pasti jika dokumen yang diterbitkan mereka itu adalah sahih. Jadi biarlah saya berbincang dengan Ketua Audit Negara (Tan Sri Ambrin Buang) terlebih dahulu untuk memastikannya adalah benar-benar laporan audit yang telah diklasifikasikan sebagai rahsia.

"Jika ia benar, maka kita akan menyiasat di bawah OSA. Jadi bertenang dahulu," katanya kepada pemberita pada majlis rumah terbuka Hari Raya Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di kediaman rasminya di Putrajaya hari ini.

Bagaiamanpun, menurut Khalid, Sarawak Report tidak boleh dipercayai sangat kerana ia sengaja mahu mencetuskan huru-hara di negara ini.

“Jangan percaya sangat, dia (Sarawak Report) dah beberapa kali dah, buat kenyataan yang tak betul.

“Dia sengaja nak membuat kucar-kacir di negara ni. Jangan percaya sangat Sarawak Report,” katanya.

Ditanya sama ada polis akan memanggil editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown berhubung dengan siasatan kes itu, beliau mengakui ia adalah sukar kerana wanita itu berpangkalan di London.

“Dia (Clare Rewcastle-Brown ) di UK jadi payahlah sikit kalau kita nak panggil dia. Orang macam inilah yang suka buat fitnah.

“Dia duduk jauh jadi dia buatlah macam-macam fitnah, dia tau kita tak boleh panggil dia. Jadi kita hati-hati sikit apabila membaca report online yang di luar, khususnya Sarawak Report,” katanya.

Khamis lalu, laman web itu mendedahkan bahawa ia telah mendapat "akses meluas" mengenai laporan Ketua Audit Negara yang menyiasat 1MDB serta menerbitkan beberapa maklumat yang kononnya daripada laporan itu.

Ia berjanji akan menyiarkan maklumat lanjut daripada laporan itu pada hari-hari akan datang, dan keesokannya, ia menerbitkan surat kedua yang didakwa adalah daripada Bank Negara Malaysia kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

Hari ini pula, ia menerbitkan ringkasan eksekutif daripada apa yang didakwa adalah daripada laporan Ketua Audit Negara.

Malaysiakini tidak boleh secara bebas mengesahkan sama ada dokumen yang diterbitkan oleh Sarawak Report itu adalah sahih dan tidak boleh melaporkan kandungannya kerana sekatan undang-undang.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS