Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Umno cabar PKR, bentuk k'jaan dengan BN
Diterbitkan:  Jul 28, 2016 2:37 PM
Dikemaskini: 9:55 AM

Dengan pertarungan politik mengambil corak baru di Malaysia apabila sekutu bertukar menjadi seteru dan sebaliknya, seorang pemimpin Umno merancakkan lagi perbalahan hari ini.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Sharkar Shamsudin mencabar PKR sama ada parti itu berani menentang keputusan DAP yang mahu membubarkan DUN di Pulau Pinang dan sebaliknya bekerjasama dengan BN untuk membentuk kerajaan perpaduan.

Katanya, jika PKR mengutamakan masa hadapan dan kepentingan rakyat maka tidak menjadi masalah untuk parti itu tetap berpegang teguh menolak pilihan raya negeri.

“Politik adalah peluang… Tun (Dr) Mahathir (Mohamad) sendiri pernah mengatakan bahawa ‘tiada kawan atau musuh yang kekal dalam politik’... jadi tidak mustahil PKR bersatu bersama BN demi kepentingan rakyat di Pulau Pinang.

“PKR boleh menjadi ketua menteri dan timbalanya daripada Umno/BN. Walaupun berlainan ideologi namun perkara ini tidak mustahil sekiranya PKR benar-benar mahu membela nasib rakyat seperti BN, ” katanya yang dipetik portal Umno Online.

Menurut Sharkar, walaupun ada perbezaan ideologi antara kedua-dua parti, kerjasama itu tidak mustahil jika PKR seperti BN mahu membela nasib rakyat.

“Cuma persoalannya kini beranikah PKR mahu menentang DAP?” katanya.

Menurut Sharkar kenyataan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bahawa parti itu belum yakin dengan cadangan DAP adalah satu langkah untuk membuktikan bahawa mereka juga mempunyai suara dan bukan hanya boneka kepada parti Cina tersebut.

“Sekiranya DAP tetap mahu mengadakan pilihan raya negeri, sudah pasti PKR sekali lagi menjadi mangsa agar kerusi mereka dikorbankan dan diserahkan kepada parti ciptaan DAP iaitu AMANAH.

“Jadi jalan alternatif untuk PKR adalah untuk bersama Umno dan BN...

“Sekiranya PKR tidak berani maka PKR terpaksa terus berhadapan dengan DAP yang pastinya agenda mereka untuk mengadakan pilihan raya negeri adalah bagi meneruskan legasi Lim,” katanya lagi.

Susulan keputusan pilihan raya umum ke-13 pada tahun 2013, DAP menang 19 kerusi, manakala PKR dan BN masing-masing mempunyai 10 kerusi.

PAS cuma memiliki satu kerusi dalam DUN Pulau Pinang yang mempunyai 40 kerusi.

Cadangan mengadakan pilihan raya mengejut itu adalah berikutan dua pertuduhan rasuah yang dikenakan terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

DAP mendakwa bahawa Lim menjadi mangsa penganiayaan politik dan oleh itu mahu mendapatkan mandat baru.

Walau bagaimanapun, PKR dilaporkan kuathir akan kehilangan beberapa kerusi di kawasan majoriti Melayu jika pilihan raya negeri diadakan.

[Baca berita penuh]

 

Lihat Komen
ADS