Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata beliau tidak akan membuat pengisytiharan harta kepada umum kerana bimbang keluarganya menjadi sasaran penjenayah.

Bekas ahli perniagaan itu berkata ada pelbagai kemungkinan boleh berlaku jika aset dimilikinya diumumkan secara terbuka.

Antara risiko yang dibimbangi Tengku Adnan ialah kemungkinan isteri atau anaknya akan menjadi sasaran penculik.

"Saya tak akan declare (umum) kepada public (orang awam) kerana saya dulu ahli perniagaan. Saya banyak aset.

"Saya tak akan cerita apa yang saya ada. Saya pun takut barangkali kalau saya declare, anak saya barangkali akan diculik, isteri saya diculik. Macam-macam perkara boleh berlaku. Orang boleh datang merompak," katanya kepada media di Kuala Lumpur hari ini.

Menteri Wilayah Persekutuan itu diminta mengulas keyataan Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil yang mencadangkan supaya beliau - serta Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mhd Amin Nordin Abd Aziz - membuat pengisytiharkan harta.

Cadangan itu dibuat ekoran tertangkapnya seorang pegawai kanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur kerana disyaki melakukan rasuah.

Pada 15 Ogos lalu Malaysiakini melaporkan tiga penjawat awam - dengan dua daripadanya berpangkat Datuk Seri dan Datuk - ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas kesalahan rasuah, penyalahgunaan kuasa dan penggubahan wang haram.

Tangkapan itu dibuat hasil operasi serentak SPRM di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Melaka dan Kelantan.

Tengku Adnan berkata beliau serta Mhd Amin Nordin memang membuat pengisytiharan harta setiap tahun seperti ditetapkan undang-undang walaupun ia tidak didedahkan kepada umum.

Katanya semua menteri dan pegawai tinggi kerajaan memang melakukan amalan itu setiap tahun.

"Memang saya declare setiap tahun. Budak PKR yang suruh saya declare ini saya ingat otak dia tak betul sikit," katanya.

Katanya menteri mengisytiharkan harta masing-masing kepada perdana menteri manakala datuk bandar melakukannya kepada ketua setiausaha negara.

Lihat Komen
ADS