Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Najib selamat kerana 3 tokoh dikhianati, kata Dr M

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata tiga pegawai tinggi kerajaan yang dituduh bersubahat untuk menggulingkan Datuk Seri Najib Razak telah "dikhianati".

Jika tidak, kata Dr Mahathir, Najib sudah berdepan dengan tindakan pihak berkaitan di negara ini.

"Zeti tidak bersalah, begitu juga Abu Kassim dan Gani Patail, namun mereka dikhianati oleh salah seorang di kalangan mereka.

"Jika tidak Najib sudah berdepan dengan tindakan sekarang," katanya kepada media di Kuala Lumpur hari ini.

Bagaimanapun Dr Mahathir enggan menjelaskan dengan lebih lanjut sama ada dalang dimaksudkannya itu adalah salah seorang daripada tiga tokoh terbabit.

Beliau merujuk kepada bekas Gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, bekas ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Tan Sri Abu Kassim Mohamed dan bekas peguam negara Tan Sri Abdul Gani Patail.

Ketiga-tiga mereka didakwa Naib Ketua Pemuda Umno Khairul Azwan Harun bersekongkol untuk menggulingkan Najib daripada jawatannya sebagai perdana menteri.

Tuduhan cari publisiti

Malaysiakini pada 26 Julai melaporkan Khairul Azwan menuduh ketiga-tiga individu berpengaruh itu juga terbabit dalam konspirasi menjatuhkan kerajaan Malaysia.

Laporan polis itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi di Kuala Lumpur.

Dalam laporannya yang juga diperolehi oleh Malaysiakini, Khairul Azwan berkata, ketiga-tiga mereka disyaki memberi dokumen dan maklumat sulit kepada agensi luar negara, termasuk kepada Biro Siasatan Persekutuan (FBI).

Ketika diminta mengulas Zeti enggan memberi sebarang komen terhadap dakwaan Khairul Azwan (gambar) sebaliknya memberitahu beliau akan mendapatkan khidmat peguam.

Gani pula menganggap tuduhan konspirasi itu adalah perbuatan seseorang yang ingin mencari publisiti.

"Percubaan membunuh perwatakan akan hanya mencetuskan tindak balas dan melemahkan kerajaan pada jangka panjang," katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun Dr Mahathir berkata apa yang disampaikannya itu sekadar "khabar angin".

"Saya tak boleh biarkan mereka menyaman saya sebab saya tak ada wang seperti dimiliki Najib," katanya.

Semalam Khairul Azwan sekali lagi mengulangi mempertahankan laporan polis dibuatnya dengan mendakwa Dr Mahathir bercadang mengadakan sidang media untuk wartawan asing pada 26 Julai bagi 'menyerang' Najib.

Dia juga mendakwa Dr Mahathir adalah sebahagian daripada konspirasi berkenaan.

"Tidak benar sama sekali. Kalaulah saya boleh berbuat begitu," kata Dr Mahathir mengenai dakwaan Khairul Azwan itu.

Turut hadir di sidang media itu presiden penaja Parti Pribumi Bersatu Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yassin dan naib presidennya Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS