Terjemahan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo akan disiasat oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) berhubung dakwaan yang beliau telah bertindak melebihi kuasanya untuk memberi tanah milik kerajaan negeri di Taman Templer kepada beberapa buah syarikat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz berkata, pihak BPR telah mengambil perhatian terhadap dakwaan tersebut yang dibuat oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Temple, Datuk Ahmad Bahari Abdul Rahman.

"(Ahmad Bahari) akan diminta memberi kenyataan tidak lama lagi," kata Mohd Nazri di Dewan Rakyat hari ini.

Malaysiakini telah melaporkan dakwaan Ahmad Bahari bahawa Mohd Khir telah menyalahgunakan kuasanya untuk memberi tanah kepada syarikat-syarikat tersebut tanpa kelulusan majlis exco negeri.

Bagaimanapun, Mohd Khir menafikan dakwaan tersebut, dengan menyatakan bahawa tanah berkenaan adalah milik persendirian dan dia tidak melanggarkan sebarang prosedur.

'Tiada bukti bersalah'

Mengenai dakwaan terhadap Mohd Khir sebelum ini yang beliau telah menyalahgunakan kuasanya dalam pemberian tanah di Mukim Dengkil dan Kampung Lanjut, Mohd Nazri berkata BPR telah menyiapkan siasatannya mengenai kes tersebut dan mendapati Mohd Khir tidak melakukan sebarang kesalahan.

Pada 29 April 2003, Adun DAP di Selangor, Teng Chang Kim mendakwa di Sidang Dewan Negeri itu bahawa Mohd Khir telah membahagi-bahagikan tanah di Mukim Dengkil dan Kampung Lanjut kepada 107 orang, termasuk beberapa ahli exco negeri dan pegawai kerajaan.

Teng mendakwa, Mohd Khir berada sama dalam mesyuarat exco di mana permohonan tanah tersebut dibincang dan diluluskan, walaupun dia telah mengisytiharkan dirinya mempunyai kepentingan peribadi kerana pegawai dan pemandunya adalah antara pemohon tanah tersebut.

Mohd Khir kemudiannya menafikan dakwaan tersebut dan berkata beliau telah meninggalkan mesyuarat tersebut selepas mengisytiharkan dia mempunyai kepentingan peribadi dalam permohonan-permohonan terbabit.

Bagaimanapun, Timbalan Menteri Besar Selangor ketika itu, Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad, menyatakan Mohd Khir dan ahli exco yang lain tidak meninggalkan mesyuarat tersebut, walaupun dia bersetuju bahawa mereka telah mengisytiharkan kepentingan masing-masing.

Menurut Mohd Nazri, BPR kemudiannya mengambil kenyataan Zainal Abidin itu.

Katanya, selepas meneliti keseluruhan kenyataan tersebut, tidak terdapat bukti yang menunjukkan Mohd Khir melakukan kesalahan, sambil menambah Pejabat Peguam Negara telah menutup kes tersebut.

Siapa yang harus dipercayai?

Katanya, siasatan juga menunjukkan Mohd Khir telah meninggalkan bilik mesyuarat selepas mengisytiharkan kepentingan peribadinya kerana pegawai dan pemandunya adalah antara mereka yang memohon untuk mendapatkan tanah tersebut.

Mohd Nazri berkata, Mohd Khir melakukan kesalahan sekiranya tanah tersebut adalah untuk kaum keluarganya atau jika pegawai-pegawai itu memberinya wang untuk mendapatkan tanah tersebut.

Bagaimanapun, kata menteri itu, semua itu tidak berlaku dalam kes tersebut, sambil menambah pegawai dan pemandu memang layak untuk mengemukakan permohonan.

Menurutnya lagi, satu-satunya elemen yang mengelirukan dalam kes tersebut ialah kenyataan Zainal Abidin bahawa Mohd Khir tidak meninggal mesyuarat exco tersebut.

"Tetapi ahli-ahli exco yang lain mengatakan Mohd Khir telah keluar. Sembilan daripada mereka berkata MB keluar....hanya seorang berkata yang lain. Jadi siapa yang harus kita percaya?, soalnya.

Mohd Khir berdepan dengan pelbagai laporan BPR mengenai dakwaan berhubung pelbagai isu termasuk pemberian tanah di Selangor serta pemberian kontrak membina jalan kepada syarikat kroni.

Baru-baru ini, beliau menjadi tumpuan berikutan kegagalannya untuk mengawal pembangunan di sekitar Bukit Cahaya yang telah diwartakan sebagai taman pertanian.