Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Model pasca-13 Mei tidak lagi sesuai, perlu kajian semula
Diterbitkan:  Sep 23, 2016 4:07 PM
Dikemaskini: 8:12 AM

Tokoh perbankan terkemuka Datuk Seri Nazir Razak mengulangi gesaannya supaya Majlis Perundingan Negara (Mapen) kedua diwujudkan kerana penyelesaian badan pertama pada 1970 tidak lagi sesuai dengan keperluan semasa Malaysia.

Berkongsi pandangan mengenai perkara itu Naib Presiden PKR Rafizi Ramli berkata kesusahan negara ketika ini begitu parah akibat persaingan kuasa pelbagai pihak.

"Terdapat penumpuan perbezaan elemen masyarakat yang datang pada masa yang sama - kekalutan politik, rasa tidak percaya pada kepimpinan, kemerosotan keyakinan pada sistem politik, kegagalan sistem ekonomi dan kumpulan yang saling mencurigai walaupun hidup bersama, dan lain-lain.

"Pada asasnya, dunia berubah dan model yang kita miliki kini tidak lagi sesuai dengan keadaan semasa.

"Model yang saya maksudkan ialah model politik, ekonomi dan sosial. Malah sistem nilai telah berubah begitu ketara dan wujud jurang nilai yang besar antara generasi muda berbanding yang lebih tua," katanya kepada Malaysiakini.

Anggota parlimen Pandan itu juga menegaskan apa yang berlaku kini tidak sepenuhnya disebabkan oleh politik atau peristiwa berkaitan politik.

"Ia adalah pengakhiran kitaran yang bermula pada era pasca 1969 Malaysia.

"Semua yang kita ada hari ini direka dengan pemikiran dan objektif dibentuk oleh rusuhan 13 Mei 1969.

"Selepas hampir 50 tahun, bukan saja model itu yang tidak lagi berfungsi, yang lebih penting, kumpulan paling dominan iaitu anak-anak muda yang lahir selepas 1990 tidak lagi melihat perspektif dan konteks 1969.

"Akhirnya, kita mempunyai sistem yang bukan saja tidak berfungsi, tetapi tidak difahami dan asing kepada orang yang sepatutnya mendapat faedah daripadanya," kata Rafizi.

Ia tetap berlaku

Mapen ditubuhkan oleh kerajaan Malaysia ekoran rusuhan kaum yang terjadi pada 13 Mei 1969. Secara lebih tepat Mapen wujud pada Januari 1970 dan allahyarham Tun Razak Hussein - yang ketika itu berkhidmat sebagai timbalan perdana menteri - mempengerusikannya.

Razak kemudian menjadi perdana menteri pada September 1970.

Datuk Seri Najib Razak dan Nazir adalah anak kepada perdana menteri kedua Malaysia itu.

Semalam Malaysiakini melaporkan Nazir menyokong saranan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar agar sistem pendidikan satu aliran diterima pakai di negara ini.

Bagaimanapun, adik perdana menteri itu mengakui walaupun ia perlu dipertimbangkan, isu berkenaan adalah kritikal dan sensitif.

Pengerusi kumpulan perbankan CIMB itu juga percaya sudah tiba masa untuk "Majlis Perundingan Negara 2" diusahakan.

Katanya ia akan membantu negara dalam jangka panjang.

Rafizi berkata wajar untuk melihat semula secara menyeluruh apa yang sesuai dilaksanakan di Malaysia bagi tempoh 50 tahun akan datang dengan mengambil kira keperluan dan perspektif semasa serta masa depan.

"Oleh itu sama ada golongan elit kita mengambil iktibar daripada seruan itu atau tidak, bukan menjadi isu kerana ia tetap berlaku

"Pihak-pihak berkepentingan - majoriti berusia bawah 40-an - akan memutuskan apa yang sesuai untuk mereka pada masa akan datang," katanya.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS