Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Nazir setuju sekolah satu aliran seperti saranan Sultan Johor
Diterbitkan:  Sep 22, 2016 2:57 PM
Dikemaskini: 8:47 AM

Ahli perbankan terkemuka Datuk Nazir Razak setuju dengan saranan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar agar sistem pendidikan satu aliran diterima pakai di negara ini.

Bagaimanapun, adik kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak itu berkata, selain merupakan isu kritikal yang perlu dipertimbangkan, ia juga adalah satu perkara yang sensitif.

"Pendidikan adalah mengenai membangunkan tenaga mahir yang berkualiti dan menyatukan masyarakat.

"Tetapi saya fikir ia perlu dibincangkan bersama-sama dengan isu-isu kritikal yang lain seperti keperluan tindakan afirmatif berbanding DEB, negara Islam berbanding perlembagaan sekular, membina semula kepercayaan terhadap institusi negara, kesederhanaan dalam politik dan masyarakat dan sebagainya," katanya dalam satu posting di Instagram.

Pengerusi CIMB itu percaya bahawa sudah tiba masanya untuk "Majlis Perundingan Negara 2" dijalankan.

Beliau berkata ini akan membantu dalam jangka panjang berdasarkan keperluan dan aspirasi generasi Malaysia hari ini yang jauh berbeza daripada keperluan dan aspirasi generasi semasa Majlis Perundingan Negara pertama pada tahun 1970.

Semalam, Sultan Johor pada pertemuan dengan pemimpin persatuan Cina di Johor Bahru sekali lagi menekankan kepentingan sistem pendidikan satu aliran.

Memetik pepatah Melayu "melentur buluh biarlah dari rebung" baginda percaya generasi muda perlu dicampurkan dalam satu sistem pendidikan asas yang seragam.

“Pendidkan asas inilah yang amat penting untuk mengajar tentang nilai dan budaya hidup dalam masyarakat berbilang bangsa,” titahnya.

Lihat Komen
ADS