Terjemahan Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan keterangan di Hong Kong berhubung dengan perbicaraan jenayah pecah amanah Tan Sri Eric Chia boleh diterima sebagai barang kes.

Hakim Datuk Abdull Hamid Embong membuat keputusan tersebut selepas membenarkan permohonan pihak pendakwa untuk menyemak semula keputusan Hakim Mahkamah Sesyen Akhtar Tahir, menolak permintaan pihak pendakwa supaya keterangan diterima sebagai sebahagian daripada perbicaraan tersebut.

"Saya memerintahkan keterangan di Hong Kong diterima sebagai barang kes. Hakim mahkamah sesyen bebas untuk membuat ketetapan pada peringkat kemudian akan kesahan, kekuatan dan penentuan nilai keterangan itu. Ia boleh menerima sepenuhnya akan kekuatan bukti itu atau sekadar menerima sebahagiannya atau mengabaikannya," katanya.

Sementara itu, pasukan peguambela Chia memaklumkan kepada mahkamah yang mereka akan membuat rayuan di Mahkamah Rayuan dan notis rayuan itu akan difailkan minggu depan.

Rabu lalu, Akhtar telah menolak permohonan pihak pendakwa supaya keterangan yang direkodkan di Hong Kong pada 25 dan 26 Ogos tahun lalu diterima dalam perbicaraan Chia.

Dalam keputusannya itu, Akhtara berkata selepas menimbang permohonan yang dibuat mengikut Seksyen 333 Akta Keterangan, beliau mendapati pihak pendakwa gagal memenuhi pra-syarat dalam seksyen tersebut, maka keterangan yang dicatat di Hong Kong itu tidak boleh dijadikan barang kes.

Berikutan itu, pihak pendakwa telah mengemukakan permohonan di mahkamah tinggi supaya keputusan hakim mahkamah sesyen itu disemak semula

Keterangan dari negara asing

Chia, 73, bekas Pengarah Urusan Perwaja Steel dan Perwaja Rolling Mill and Development, dituduh melakukan pecah amanah melibatkan RM76.4 juta di pejabatnya di Menara UBN, Jalan P. Ramlee antara 4 November 1993 dan 22 Februari 1994.

Beliau menghadapi pertuduhan pilihan mengeluarkan wang itu dengan menandatangani perjanjian dengan NKK Corporation dan meluluskan pembayaran tanpa kebenaran lembaga pengarah dan jawatankuasa tender Perwaja Rolling Mill and Development.

Dalam penghakiman lisannya, Abdull Hamid berkata Akta Bantuan Bersama Perkara-perkara Jenayah 2002 (Macma) adalah undang-undang khas dan spesifik yang mengetepikan Akta Keterangan walaupun ia disebut dalam Seksyen 8 (3) Macma.

"Satu daripada permohonan yang boleh diminta Peguam Negara kepada negara asing yang menandatangani akta tersebut ialah untuk memperolehi keterangan dari negara asing, yang beliau (Peguam Negara) berpendapat adalah relevan bagi mana-mana prosiding jenayah di Malaysia,' katanya.

Katanya, peawai pencatat atau majistret tidak menghakimi keterangan itu dan dalam kes terebut majistret Hong Kong itu jelas menyedari bahawa tiada proses kehakiman terbabit.

Menurutnya lagi, Macma adalah undang-undang khas dan spesifikyang mengetepikan Akta Keterangan walaupun ia disebut dalam Seksyen 8 (3) Macma yang mencetus hujah bahawa keterangan itu tidak boleh diterima dalam perbicaraan berkenaan kerana ia gagal memenuhi syarat-syarat mengiktu Seksyen 33 Akta Keterangan.

Beliau juga berkata, adalah 'malang' Akta Keterangan tidak dipinda untuk keperluan sekarang mengikut Macma, seperti penerimaan keterangan di negara asing.

"Sekarang ini, walaupun tanpa peruntukan yang setaraf dalam Akta Keterangan kita, saya berpendapat dasar awam mahukan keterangan dibuat mengikut Macma, seperti keterangan di Hong Kong dalam kes ini, patut diterima dalam kedudukannya tersendiri sebaik sahaja ia menunjukkan ia relevan kepada perbicaraan itu," katanya.