Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images

"Bukan cubaan, tapi betul-betul!" kata Kusaini Kassim, lelaki berbaju kuning mangsa tendangan terbang penyokong baju merah di Sabak Bernam pada Sabtu lalu.

Bercakap kepada Malaysiakini Kusaini berkata tidak ada alasan untuknya berlakon diserang kumpulan baju merah pada perarakan konvoi BERSIH 5 untuk cuba memprovokasi keadaan ketika itu.

"Nak berlakon macam mana? Saya memang nak balik dan saya memang kena lalu jalan tersebut.

"Ini bukan cubaan, ini betul-betul," katanya seolah-olah mengulangi dialog popular dalam filem komedi allahyarham Tan Sri P Ramlee, Pendekat Bujang Lapok.

Pada kejadian Sabtu lalu Kusaini, 49, yang menunggang motosikal dilihat ditendang penyokong kumpulan baju merah dipimpin Ketua Umno Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos.

Kusaini yang berbaju kuning dan bertopi keledar terjatuh namun tidak melawan walaupun beberapa orang melemparkan telur ke arahnya.

Semalam Kusaini yang menceritakan pengalamannya kepada Malaysiakini bersyukur kerana segera diselamatkan oleh anggota polis trafik.

Konvoi itu sedang menjalankan kempen mengajak orang ramai hadir ke Kuala Lumpur pada 19 November ini sempena BERSIH 5.

Bagaimanapun di media sosial beredar gambar didakwa Kusaini yang dituduh sengaja berlakon pada hari kejadian.

Polis beri penjelasan

Antara yang disebarkan ialah gambar Kusaini bergaya dengan pakaian seragam seperti pasukan keselamatan bersama motosikal.

Dia juga dikaitkan dengan sebuah pertubuhan Melayu yang dikenali ramai.

Mengulas perkara itu, Kusaini menafikan dia berkhidmat sebagai anggota pasukan keselamatan, sebaliknya mengenakan pakaian itu atas dasar "suka-suka".

"Bukan, itu (gambar pakaian seragam seperti polis) ada kawan ajak bergambar pakai baju dia, dan dia pun ada cakap jangan buat macam-macam dengan gambar tersebut. Saya saja nak berlagak (action)," kata Kusaini.

Selain itu, Kusaini juga mengesahkan beliau ada menyertai salah satu pertubuhan di negara ini tetapi bukan melibatkan baju merah.

"Saya ada masuk persatuan tapi ia bukan yang berkaitan dengan baju merah," kata Kusaini.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Supt Nor Azmi Isa berkata lelaki terbabit bukan salah seorang anggota polis seperti disebarkan di Internet.

Katanya polis menerima laporan polis daripada lelaki terbabit pada 8 Oktober lalu yang mengadu ditendang dan dipukul penyokong baju merah ketika melalui persimpangan lambu isyarat Jalan Sepintas.

"Beliau merupakan seorang kakitangan di sebuah agensi kerajaan yang bertugas sebagai pembantu am rendah, bukannya seorang anggota PDRM seperti telah diviralkan," katanya.

Nor Azmi juga memberitahu polis akan menjalankan siasatan terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan maklumat tidak tepat mengenai insiden berkenaan.

"Perbuatan tersebut sengaja dilakukan untuk memburuk-burukkan imej PDRM," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Lihat Komen
ADS