Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kusaini Kassim, peserta konvoi BERSIH yang ditendang anggota gerakan Baju Merah dua hari lalu berkata beliau tidak tahu nasib yang bakal menimpanya jika tidak diselamatkan seorang anggota trafik.

Kusaini, 49 berkata, beliau bersyukur dan berterima kasih kepada anggota keselamatan berkenaan yang bertugas di tempat kejadian ketika itu.

"Nasib baik ada seorang anggota trafik datang selamatkan saya walaupun agak lambat keluarkan saya dari kumpulan itu. Tapi kalau lambat lagi tak tahulah macam mana," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Menceritakan kejadian itu, Kusaini berkata beliau dan rakannya menyertai Konvoi Bersih 5 di sekitar Sabak Bernam Selangor, sebelum memutuskan untuk pulang awal kerana urusan keluarga.

“Saya hadir dalam program BERSIH tapi saya kena pulang awal kerana ada majlis keluarga. Dalam perjalanan balik ke rumah saya dari Sabak Bernam ke Padang Terap saya kena melalui jalan itu (tempat kumpulan Baju Merah berkumpul)," jelasnya.

Bagi mengelak terlanggar ahli kumpulan terbabit, Kusaini membuat keputusan memberhentikan motosikal Kawasaki ER6 yang ditunggangnya di bahu jalan, manakala rakannya sempat berpatah balik.

"Bila saya berhenti tiba-tiba saya terjatuh dan mereka menarik bahu saya, serang saya dan baling telur," kata Kusaini.

Bimbang jumlah anggota Baju Merah

Kusaini berkata beliau bimbang melihat jumlah anggota kumpulan itu dan membuat keputusan untuk tidak melawan, sebaliknya berharap ada pihak yang akan membantunya.

"Saya bimbang sebab takut mereka tengah geram," katanya.

Ditanya mengenai tindakan anggota kumpulan itu menendangnya, Kusaini bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

Susulan kejadian itu, Kusaini membuat laporan polis di Balai Polis Sabak Bernam dan turut menjalani pemeriksaan kesihatan.

“Buat masa ini ok, tidak ada apa-apa. Saya ada ke klinik, membuat ‘scan’ x-ray. Saya rasa ok sekarang ini tidak ada apa-apa,” katanya.

Konvoi Bersih 5 di seluruh negara memasuki hari ketiga Sabtu lalu dan mereka berlepas dari 6 lokasi.

Mereka bertolak dari Sungai Petani, Kedah; Kulai, Johor; Kota Bharu, Kelantan; Teluk Intan, Perak; Bintulu, Sarawak dan Tawau, Sabah.

Perjalanan konvoi itu adalah sebahagian daripada jelajah 7 minggu anjuran Bersih 2.0 bagi mempromosi perhimpunan Bersih 5 pada 19 November.

Lihat Komen
ADS