Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images

Dalam kenyataan mengejutkan, pemimpin Baju Merah Datuk Seri Jamal Md Yunos berkata, lelaki yang menyerang penyokong BERSIH di Sabak Bernam dan mengasari petugas media di Kuala Selangor sebenarnya adalah daripada BERSIH.

"Saya ingin menyatakan bahawa kekerasan adalah provokasi daripada BERSIH.

"Apa yang berlaku di Sabak Bernam, penunggang berbaju kuning yang diterajang dari belakang itu adalah diupah oleh BERSIH dengan pakai T Shirt sama seperti yang kami pakai. Boleh didapati di mana-mana," kata Jamal.

Ditanya mengenai kekasaran terhadap wartawan minggu lalu, Jamal berkata bahawa ia juga adalah daripada BERSIH.

Bercakap kepada media selepas perhimpunan balas menentang konvoi BERSIH di Kapar, Jamal berkata beliau tidak akan terkejut jika BERSIH tiba-tiba "diserang" oleh penyamar yang memakai T-shirt merah.

Kumpulan Baju Merah itu berkumpul di sebuah stesen minyak dekat pejabat PKR Kapar di mana BERSIH mengakhiri konvoi mereka.

Kedua-dua kumpulan bersurai pada pukul 3.30 petang secara aman dan tanpa kejadian tidak diingini.

Respon BERSIH

Menjawab dakwaan Jamal, Pengerusi BERSIH Maria Chin Abdullah berkata mereka tidak pernah mengupah sesiapa sahaja untuk melakukan keganasan.

"Kami tidak membayar sesiapa sahaja untuk melakukan keganasan dan kami tak pernah buat begitu.

"Tidak boleh buat tuduhan yang liar," katanya kepada Malaysiakini ketika dihubungi.

Hari Ini konvoi BERSIH bermula pada kira-kira pukul 12.00 tengah hari di Kuala Selangor, namun ia terhenti beberapa kali.

Pada satu ketika selepas tiba di Kapar, konvoi itu juga dimarahi oleh polis kerana berhenti di tengah-tengah jalan yang sibuk.

Kumpulan itu kemudian berkumpul di tepi jalan berhampiran dan mereka menyerahkan obor kepada pasukan dari Kapar.

Dalam sidang media di Ibu Pejabat PKR Kapar kemudian, Ketua Penerangan PKR Kapar Mohd Zamsol Abd Majid membidas kumpulan Baju Merah kerana terus mengganggu penyokong BERSIH.

"Ini menunjukkan BERSIH mempunyai kesan, jika tidak, mengapa mereka mengadakan ceramah di tepi jalan," katanya merujuk kepada kumpulan Baju Merah yang berkumpul kira-kira 300 meter dari pejabat PKR Kapar.

Kumpulan itu katanya, sentiasa mengganggu konvoi BERSIH kerana mempunyai agenda tertentu.

[Baca berita penuh]

 

 

Lihat Komen
ADS