Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
DAP mahu kerajaan sokong pendirian Azalina
Diterbitkan:  Oct 25, 2016 4:38 PM
Dikemaskini: 8:45 AM

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said mendapat pujian daripada Anggota Parlimen Bukit Gelugor di parlimen hari ini.

Kata Ramkarpal Singh pendirian Azalina berhubung kebebasan Majlis Peguam Malaysia adalah betul dan kerajaan wajar menyokongnya.

"Saya mengalu-alukan pendirian Azalina dan menggesa kerajaan mengetepikan cadangannya kerana ia pasti tidak membangkitkan keyakinan apabila menteri yang akan membentangkan usul itu sendiri tidak meyakininya," kata Ramkarpal dalam kenyataan hari ini.

Ramkarpal mengulas cadangan kerajaan meminda Akta Profesion Undang-undang 1976 yang didakwa akan menjejaskan kebebasan dan kredibiliti Majlis Peguam.

Mengikut perancangan cadangan pindaan itu akan dibentangkan di parlimen pada sesi kali ini.

Minggu lalu Azalina berkata secara peribadi beliau berpendapat kerajaan tidak seharusnya campur tangan dalam pengurusan Badan Peguam Malaysia atau badan profesional lain di negara ini.

Anggota parlimen Pengerang itu berkata demikian ketika menjawab soalan R Sivarasa (PKR-Subang) mengenai rancangan Putrajaya melantik dua wakil kerajaan dalam Badan Peguam melalui cadangan pindaan berkenaan.

"Bagi saya secara peribadi, saya sependapat dengan anda," kata Azalina.

Katanya badan profesional di negara ini - sama ada Badan Peguam Malaysia, badan perubatan atau kejuruteraan - sepatutnya tidak perlu dan tidak patut ada campur tangan kerajaan secara langsung.

Menurut Ramkarpal Majlis Peguam sentiasa bebas dan kerajaan tidak perlu campur tangan dalam hal ehwal pertubuhan berkenaan.

Katanya cubaan untuk meluluskan pindaan itu akan ditafsir sebagai keinginan kerajaan menutup mulut Majlis Peguam yang lantang mengkritik Putrajaya dalam aspek tertentu.

"Tidak ada justifikasi untuk gangguan sedemikian terutamanya apabila ahli profesional lain seperti doktor dan jurutera menikmati kebebasan mutlak melalui badan-badan yang mewakili mereka.

"Perkara yang sama perlu terpakai pada peguam," kata Ramkarpal, yang juga seorang peguam.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS