Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita

Usul pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau lebih dikenali sebagai Akta 355 yang akan dibawa Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan menjalani sedikit pindaan sebelum dibentangkan di Dewan Rakyat.

Walaupun presiden PAS itu enggan memberikan sebarang pengesahan mengenainya hari ini, Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Datuk Dr Khairuddin Aman Razali menyatakan pindaan itu melibatkan had hukuman yang boleh dikenakan hakim mahkamah syariah.

Khairuddin yang juga anggota parlimen Kuala Nerus berkata pada usul yang akan dibawa presiden PAS itu, mereka meletakkan had untuk hukuman penjara, denda dan sebatan.

"Perkara yang dipinda ialah hukuman penjara antara tiga hingga 30 tahun, denda antara RM5,000 hingga RM100,000 dan sebatan setakat maksimum 100 kali," katanya.

Bagaimanapun kata beliau kaedah sebatan itu sama sekali berbeza dengan pelaksanaan hukuman sama untuk mahkamah sivil.

Kata Khairuddin (gambar) sebatan mengikut kaedah syarak adalah pelaksanaan "seperti merotan anak saja".

"Seratus kali sebatan syarie macam sekali sebatan (sivil)," katanya.

Sebelum ini usul yang ingin dibawa Abdul Hadi mencadangkan Akta 355 dipinda supaya had hukuman penjara maksimum - ketika ini selama tempoh tiga tahun - dinaikkan.

Turut dicadangkan supaya dimansuhkan ialah had maksimum denda (ketika ini maksimum RM5,000) dan sebatan (kini maksimum enam kali).

Usul asal Abdul Hadi tidak menyatakan sebarang had bagi hukuman berkenaan.

Semalam Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengadakan pertemuan dan taklimat dengan anggota parlimen beragama Islam bagi menjelaskan usul Abdul Hadi berkenaan.

Perlu notis ke setiausaha

Usul itu dijangka dibawa ke Dewan Rakyat selewat-lewatnya pada hari terakhir sidang kali ini, iaitu esok. Bagaimanapun ia bergantung kepada kebenaran diberi oleh speaker.

Kata Khairuddin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom meminta presiden PAS itu meminda usulnya supaya ditetapkan had bagi setiap hukuman.

"Mengikut pandangan mereka (anggota parlimen yang hadir) apabila dicadangkan batas bagi hukuman mahkamah syariah, ramai yang setuju. Tak ada bantahan. Apa yang mereka nak, itu kita (akan) bawa," katanya.

Tambah Khairuddin butiran lanjut mengenai peruntukan hukuman bagi cadangan pindaan Akta 355 itu akan diputuskan oleh kerajaan negeri nanti.

Katanya peruntukan undang-undang itu juga hanya terpakai ke atas orang Islam dan membabitkan kesalahan seperti persetubuhan haram, menuduh orang melakukan zina dan mengambil minuman memabukkan.

Untuk membolehkan cadangan pindaan itu dibuat Abdul Hadi kini perlu memberi notis makluman kepada setiausaha parlimen.

Usul itu digelar sesetengah pihak sebagai "undang-undang hudud" kerana didakwa bakal membuka jalan kepada pelaksanaan hukum Islam di peringkat negeri, terutama di Kelantan yang ditadbir PAS.

Negeri itu tahun lalu meluluskan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II yang antara lain memberi kebenaran untuk hukuman rotan antara 40 hingga 100 kali sebatan.

Bagaimanapun ia tidak boleh dilaksanakan setakat ini kerana kewujudan had hukuman mengikut Akta 355 masih wujud.

Sementara itu PAS menganjurkan solat hajat hari ini sebagai langkah mendoakan supaya usul Abdul Hadi dapat dibentangkan di Dewan Rakyat.

Berdasarkan poster yang diedar dalam kumpulan WhatsApp media rasmi PAS, majlis itu diadakan "sempena pembentangan rang undang-undang Akta 355".

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS