Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita

ULASAN l Rang Undang-undang 355 (RUU 355) hanya tertakluk kepada penganut Islam yang beriman dan budiman, tanpa mengira fahaman politik dan kedudukan dalam masyarakat dan tugasnya. Semua bersyukur kepada Allah yang mengurniakan hidayah-Nya kepada nikmat Islam.

Menyedari dan merasai betapa bencana umat di zaman penjajahan dan selepasnya - walaupun sudah merdeka lebih setengah abad - namun syariat Allah yang menjadi sebahagian daripada objektif rukun Islam dan Iman serta pernah juga menjadi contoh paling berjaya kepada pihak lain, tiba-tiba dihalang dan dikembalikan semula seperti zaman penjajah dengan serangan media mengelirukan umat Islam dan menakutkan bukan Islam, kerana tujuan politik murahan semata-mata. Adakah mereka menjadi wakil penjajah selepas merdeka?

Aspek kehakiman menjadi rukun dalam menunaikan perintah Allah yang Maha Adil. Maka semua penganut Islam wajib mendukung dengan penuh harapan supaya dinaikkan taraf mahkamah syariah dari kedudukan yang telah diletakkan oleh penjajah dahulu.

Ini termasuklah juga raja-raja wajib diangkat ke martabatnya kerana kedudukan baginda menjadi ketua urusan agama Islam telah dihina oleh penjajah walaupun setelah mencapai kemerdekaan yang mencecah lebih setengah abad.

Sehingga kini mahkamah tinggi syariah yang paling tinggi pun, kedudukannya lebih rendah daripada mahkamah majistret.

Adapun kalangan bukan Islam sepatutnya meraikan perkara ini dan menghormati saudara mereka yang berada dalam masyarakat majmuk dan negara dalam perkara yang tidak ada kena mengena dengan urusan mereka.

Jangan sengaja mencari sebab untuk menimbulkan ketegangan masyarakat majmuk dan harmoni dengan tiba-tiba menentang RUU 355 yang bertujuan menaikan taraf mahkamah syariah.

(Mereka) perlu menyedari kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan dan hak penganut agama lain yang diberi kebebasan, (tetapi) tiba-tiba menghalang penganut Islam dalam bidang berkaitan agama yang menjadi agama negara ini.

Bidang kuasa sangat terbatas

Tokoh undang-undang tersohor almarhum Prof Ahmad Ibrahim (bekas ketua pengajian undang-undang di beberapa universiti dan mantan Peguam Negara Singapura di bawah PAP yang diterajui mendiang Lee Kuan Yew seperti DAP di Malaysia) telah menulis perkara ini dalam tajuk: "Islam Dalam Perlembagaan" dengan menegaskan: Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Islam ialah agama bagi persekutuan, tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian persekutuan.

Perlu disebutkan bahawa belum ada terjemahan perlembagaan yang sahih di Malaysia dan terjemahan "Islam is the religion of the Federation" yang terdapat dalam perlembagaan diterjemahkan salah sebagai "agama Islam ialah agama bagi persekutuan".

Oleh kerana perkataan "Islam" dan bukan "agama Islam" yang digunakan di Perkara 3, bolehlah dihujahkan bahawa yang dimaksudkan ialah Islam sebagai cara hidup, iaitu sebagai ad-Din.

Dalam minit Suruhanjaya Reid melaporkan perbincangan bahawa mereka menerima memorandum Parti Perikatan dan juga PAS (satu-satunya parti pembangkang di masa itu) yang mendesak supaya diletakkan Islam dalam perlembagaan.

Akhirnya mereka menerima juga kerana dalam Perikatan itu ada juga MCA dan MIC daripada kalangan bukan Islam dan pihak Islam menerima juga ayat bahawa agama-agama lain bebas diamalkan oleh penganut masing-masing. (Lihat: Islam Dalam Perlembagaan oleh Prof Ahmad Ibrahim).

Berkenaan RUU355 almarhum Ahmad menulis: “Pada masa sekarang bidang kuasa jenayah mahkamah syariah sangat terbatas.

Mengikut perlembagaan, mahkamah syariah mempunyai bidang kuasa mengenai kesalahan-kesalahan setakat yang diberi oleh undang-undang Persekutuan.

Mengikut Muslim Courts (Criminal Jurisdiction) Act, 1965, mahkamah syariah hanya diberi bidang kuasa mengenai kesalahan yang boleh dihukum dengan penjara tidak lebih enam bulan atau denda tidak lebih RM1,000 atau kedua-duanya."

Bidang kuasa itu telah ditambah pada tahun 1984 dengan melakukan pindaan kepada akta tersebut.

Mahkamah syariah diberi bidang kuasa mengenai kesalahan yang boleh dihukum dengan penjara tidak lebih tiga tahun atau dengan tidak lebih RM5,000 atau sebat tidak lebih enam sebat atau gabungan hukuman itu.

Bidang kuasa ini masih rendah daripada bidang kuasa mahkamah majistret kelas satu di mana biasanya boleh membicarakan kes yang boleh dihukum dengan penjara 10 tahun dan boleh menjatuhkan hukuman lima tahun, penjara atau denda RM10,000 atau sebat 12 pukulan atau gabungannya.

Keadaan ini menjadikan mahkamah syariah - termasuk mahkamah tinggi syariah - lebih rendah tarafnya daripada mahkamah majistret (Lihat rujukan daripada tulisan sama Ahmad).

Perlu diketahui hukuman sebatannya pula bersifat mendera pesalah dengan cara yang kejam, bukan seperti hukuman syariat Islam yang bersifat mendidik penjenayah dan masyarakat.

Contohnya hadis Rasulullah SAW. Apabila dibawa seseorang yang telah dijatuhkan hukuman 100 sebatan kerana berzina baginda bersabda: Jatuhkan hukuman had sebatan ke atasnya (100 sebatan). Mereka berkata: Wahai Rasulullah!

Dia seorang yang lemah, tidak mampu menerima hukuman itu, nanti kalau disebat 100 kali kami membunuhnya. Sabda Rasulullah SAW: Ambillah seberkas yang ada sejumlah 100 ranting, sebatkan dia satu kali sahaja dan bebaskan dia).

Hadis ini membezakan hukuman sebatan syariat Islam dengan hukuman lain, dan hukum Islam bertujuan mendidik. Ini menunjukkan gambaran yang dibawa media adalah salah dan pembohongan terhadap Islam.

Al-Quran dan hadis adalah rujukan tertinggi kepada penganut Islam. Terpulang kepada agama masing-masing yang tidak dipaksa mengikut hukum Islam. Jangan kacau urusan penganut Islam.

Apabila pihak PAS mengemukakan usul persendirian berkait RUU355 di parlimen (ia dituduh) bekerjasama dengan Umno. Ketika saya memberi peluang kepada mereka bertanya di parlimen, tiba-tiba inilah sahaja soalan meminta penjelasan oleh YB DAP Bandar Kuching:

  1. RUU 355 membuka pintu ke arah hukum hudud (ada udang di sebalik batu)
  2. Menganggu hak bukan Islam
  3. Menganggu hak Sabah dan Sarawak
  4. Meretakkan pakatan pembangkang

Kerana masa yang dihadkan maka saya panjangkan di sini jawapannya:

  • Membuka pintu ke arah hukum hudud

Hukum hudud adalah di luar daripada tajuk RUU355, tapi nampaknya terus dijadikan senjata untuk menentang Islam secara terbuka.

Hukuman yang dinamakan hudud adalah hukuman yang ditetapkan oleh Allah dan rasul-Nya; hanya dalam beberapa kesalahan sahaja daripada syariat Islam yang tidak boleh diperkecilkan oleh penganut Islam. Ini kerana ianya dinaskan oleh al-Quran dan sunnah yang termasuk dalam perkara iman, Islam dan ihsan.

Hudud adalah satu daripada tiga bahagian undang-undang jenayah hukum syariat yang diwajibkan Allah dan menjadi kesepakatan para ulama. Selebihnya - sehingga tidak terkira banyaknya - adalah mengikut kebijaksanaan manusia, mengikut konsep mendidik, bukannya mendera.

Namun hudud tidak boleh dilaksanakan di Malaysia kerana banyak halangannya. Ini termasuklah dalam perkara jenayah di bawah bidang kuasa kerajaan persekutuan, berdasarkan Senarai I Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan.

Mengikut Perkara 76(A) Perlembagaan Persekutuan pula, ianya memerlukan parlimen membuat suatu undang-undang (akta) barulah negeri boleh membuat undang-undang berkaitan dengan perkara yang terletak di bawah kuasa persekutuan.

Sila rujuk Perkara 75 Perlembagaan Persekutuan: “Jika mana-mana undang-undang negeri tidak selaras dengan sesuatu undang-undang persekutuan, maka undang-undang persekutuan itu hendaklah mengatasi undang-undang negeri dan undang-undang Negeri itu adalah tidak sah setakat yang tidak selaras itu.”

Perkara 76A pula menyatakan: "(1) Dengan ini ditegaskan bahawa kuasa parlimen untuk membuat undang-undang mengenai sesuatu perkara yang disebut satu persatu dalam senarai persekutuan termasuklah kuasa untuk membenarkan badan-badan perundangan negeri-negeri atau mana-mana daripadanya, tertakluk kepada apa-apa syarat atau sekatan (jika ada) yang dikenakan oleh parlimen, untuk membuat undang-undang mengenai kesemua atau mana-mana bahagian perkara itu.

"(2) Walau apa pun perkara 75, sesuatu undang-undang negeri yang dibuat di bawah kuasa yang diberikan oleh akta parlimen sebagaimana yang disebut dalam Fasal (1) boleh, jika dan setakat yang diperuntukkan sedemikian oleh akta itu, meminda atau memansuhkan (berkenaan dengan negeri yang berkenaan) mana-mana undang-undang persekutuan yang telah diluluskan sebelum akta itu."

Undang-undang hudud dijadikan senjata perang psikologi oleh musuh Islam di seluruh pelusuk dunia.

Sepatutnya pihak bukan Islam jangan menjadi wakil selepas zaman penjajah.

Namun sehingga kini masih memasuki dalam fikiran kalangan Islam juga yang menjadi mangsa tawanan musuh dalam penjara kejahilan. Maka janganlah kalangan bukan Islam di sini menari mengikut gendang musuh itu.

Perjalanan kehakimannya sukar kerana syaratnya sangat ketat. Hukumannya pula lebih ringan daripada undang-undang jenayah ciptaan manusia, tetapi kehebatannya menggerunkan masyarakat termasuk mereka yang tidak berniat melakukan jenayah. (Sila lihat rakaman ceramah saya di Universiti Nanyang Singapura).

PAS sedia berdailog dengan pemimpin agama bukan Islam sekiranya ada undang-undang daripada agama mereka, walaupun masih dihalang oleh perlembagaan persekutuan.

Adapun RUU355 tiada kaitan dengan hukuman hudud yang berada dalam fasal lain di bawah bidang kuasa negeri dan kesalahan jenayah yang disenaraikan di bawah kerajaan pusat.

  • Menganggu Hak bukan Islam

Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan dan Jadual Kesembilan daripada hak negeri-negeri menegaskan kebebasan beragama kepada bukan Islam dijamin, serta bidang kuasa penganut bukan Islam di luar daripada kuasa Mahkamah Syariat. Firman Allah: “Oleh itu kalau mereka (orang bukan Islam) datang kepadamu, maka hukumlah di antara mereka (dengan apa yang telah diterangkan oleh Allah dalam kitab mereka - kalau ada) atau berpalinglah daripada mereka dan kalau engkau berpaling daripada mereka, maka mereka tidak akan dapat memudaratkanmu sedikitpun dan jika engkau menghukum, maka hukumlah di antara mereka dengan adil; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil”

Rasa tidak munasabah kalau saya menjawab kalangan yang berhujah bahawa ramai penganut Islam akan dihukum kerana seolah-olah orang Islam akan berlumba melakukan jenayah kerana mahu dihukum.

  • Menganggu hak Sabah dan Sarawak

Malaysia berkongsepkan federalisme, membahagikan kerajaan negeri dan pusat dalam sistem pemerintahannya. Perlembagaannya menetapkan batas bidang kuasa kerajaan pusat dan negeri termasuk dalam aspek kehakiman dan perundangan.

Akta 355 yang dibuat berdasarkan Jadual 9 sebagai punca kuasanya adalah berkaitan dengan bidang kuasa mahkamah syariah yang ditubuhkan di bawah perlembagaan negeri.

Kerajaan negeri pula boleh menerima pakai (bukan secara automatik) peruntukan Akta 355 yang dipinda nanti bagi menetapkan hukuman terhadap kesalahan-kesalahan yang diperuntukkan dalam enakmen kesalahan jenayah syariah negeri masing-masing.

Untuk Sabah dan Sarawak juga, seperti negeri-negeri lain, mempunyai pilihan sama ada hendak menerima pakai atau tidak Akta 355 yang dipinda itu.

Perlu diingat dari segi sejarahnya semasa Akta 355 mula dibentangkan di parlimen pada tahun 1965, ianya tidak ditentang oleh anggota parlimen bukan Islam, termasuklah mendiang Lee Kuan Yew yang berada dalam parlimen pada ketika itu.

Pada 1984 semasa Akta 355 dibawa ke Dewan Negara untuk dipinda, RUU tersebut disokong oleh Dr James P Ongkili (MP Tuaran) yang beragama Kristian (sila rujuk Handsard Parlimen).

Mengapa DAP dan rakan-rakannya di abad ke-21 ini terlalu maju ke depan?

  • Meretakkan pakatan pembangkang

PAS menyertai pakatan pembangkang dengan konsisten menghormati adab dan akhlak berpakat. Dalam pakatan, PAS wajib teguh bersama dasar dan matlamatnya yang wajib dihormati oleh semua pihak; dalam titik persamaan yang tidak mengganggu perkara dasar dan matlamat pihak lain yang berpakat.

Adapun campur tangan dalam urusan yang tersebut di atas adalah tidak berakhlak atau tidak bermoral mulia dalam pakatan. Lebih tidak berakhlak kalau mencuri dalam rumah PAS yang membuka pintu kepada mereka.

Dalam sejarah pakatan dengan pihak lain, PAS tidak pernah khianat dalam perkara pakatan mengikut batasnya, sehingga PAS yang dipecat daripada BN (pada 1978) dan terkini DAP memecat PAS daripada Pakatan Rakyat.

Walaupun PAS memberi tempoh panjang dan bersabar menghadapi perangai parti lain yang campur tangan dalam urusan dalaman PAS dan meredah masuk ke billik rumah PAS.

  • PAS masuk BN

PAS menyertai kerajaan campuran dan seterusnya bersama menubuhkan BN setelah negara menghadapi keadaan darurat sehingga berlakunya peristiwa 13 Mei 1969.

Adapun DAP tidak bekerjasama pada masa negara dalam keadaan darurat. PAS menerima dengan terbuka tawaran perdana menteri kedua, almarhum Tun Abdul Razak Hussein yang menerima cadangan-cadangan PAS. Sebahagian besar pemimpin dan ahli PAS menganggap kecil segala kezaliman yang berlaku (ke atas mereka sebelum itu, sepert) ditahan ISA, dibuang daerah, bahkan ada yang dibunuh.

Dua Kerajaan negeri (Terengganu dan Kelantan) yang diperintah oleh PAS pernah menjadi mangsa kepungan dan tekanan pusat dan rompakannya.

Ia tidak dihadapi oleh kerajaan Singapura dalam Malaysia di bawah PAP (bapa yang melahirkan DAP) dan kerajaan PBS (Parti Bersatu Sabah) di Sabah.

Namun PAS meletakkan di hadapannya kepentingan negara, rakyat dan menolak keadaan "politicking" murahan yang menjadikan rakyat bawahan dalam keadaan sangat tenat, kerana Islam mengharamkan politik berdendam.

Sila pihak yang menuduh itu cermin diri masing-masing. PAS tidak pelahap untuk menyertai kerajaan BN hanya untuk meraih jawatan dalam kabinet atau semata-mata mahu menjadi perdana menteri laksana mi segera.

PAS adalah parti yang turun ke medan rakyat, kini mempunyai 192 kawasan di seluruh negara dan hampir 10,000 cawangan sehingga di pedalaman.

Terkini ada pula cabang penyokong kalangan bukan Islam (DHPP) yang menjadi hubungan persahabatan dengan bukan Islam.

Bukan hanya berdepan komputer di meja dan berarak di jalan raya sahaja untuk mendapat sokongan rakyat.

Akhirnya, tiada alasan undang-undang dan politik bagi menentang RUU355 melainkan mahu bermusuh dengan Islam dan penganutnya atau menjual diri menjadi alat kepada musuh Islam dengan harga yang sangat murah.

Allah memberi panduan kepada penganut Islam bagi menghadapi cabaran ini dengan firmannya: “Dan janganlah kamu berbahas dengan ahli Kitab (bukan Islam) melainkan dengan cara yang lebih baik, kecuali orang-orang yang berlaku zalim di antara mereka dan katakanlah (kepada mereka): Kami beriman kepada (al-Quran) yang diturunkan kepada kami dan kepada (Taurat dan Injil) yang diturunkan kepada kamu dan Tuhan kami, juga Tuhan kamu, adalah Satu dan kepada-Nyalah, kami patuh dengan berserah diri.”


DATUK SERI ABDUL HADI AWANG presiden PAS dan anggota parlimen Marang.

Lihat Komen
ADS