Paling Popular
Terkini

Dilihat mencontohi teladan ditunjukkan Rafizi Ramli, hari ini Naib Presiden Parti Amanah Negara, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa membuat pengisytiharan hartanya di George Town, Pulau Pinang.

Katanya langkah itu diambil bagi membolehkan beliau bersikap telus kepada masyarakat.

Semasa sidang media tadi Mujahid berkata elaun bulanan diterimanya sebagai anggota parlimen Parit Buntar ialah RM25,700.

Daripada jumlah itu beliau membayar pinjaman perumahan bernilai RM1,218.03 dan RM4,000 adalah sumbangan kepada parti dan RM325 potongan cukai berjadual.

Ia menjadikan pendapatan bersihnya setiap bulan sebagai anggota parlimen ialah RM20,156.97.

Perbelanjaan bulanan Mujahid pula termasuk RM5,300 untuk pusat khidmatnya di Parit Buntar dan RM5,000 bagi membiayai program di kawasan diwakilinya.

Beliau juga mempunyai tanggungan hutang bulanan RM2,446.53 untuk sebuah kereta Honda Accord, barayan semula pinjaman peribadi bagi tempoh dua tahun dari Bank Islam (RMRM2,656.53) dan RM1,500 untuk kad kredit.

Untuk ketiga-tiga akaun bank, jumlah simpanan keseluruhan anak bekas presiden PAS itu ialah RM6,854.

Aset keseluruhan Mujahid bernilai RM423,000 termasuk sebuah rumah dua tingkat di Parit Buntar bernilai RM291,000, Honda Accord (RM110,000) dan sebuah Proton Saga (RM22,000).

Elak dipersoal rakyat

Bekas pensyarah universiti itu berkata beliau pernah mengusahakan sebuah syarikat penerbitan sebelum ini namun ia tidak lagi beroperasi.

Katanya, beliau mempunyai tiga anak masing-masing berusia 20, 23 dan 25 tahun, manakala isterinya bekerja sebagai guru.

Sambil mengucapkan terima kasih kepada Rafizi atas inisiatif dilakukannya sebelum ini Mujahid berkata apa yang dilakukan itu adalah menunaikan tanggungjawab sebagai wakil rakyat yang perlu berkhidmat kepada orang ramai.

"Sebagai pihak yang menginginkan ketelusan, ini adalah langkah pertama perlu dibuat - maklumkan kepada umum apa yang kita ada supaya kita tidak dipersoalkan," katanya.

Malaysiakini pada 29 November lalu melaporkan gesaan anggota parlimen Pandan, Rafizi, supaya anggota parlimen dan pegawai kanan kerajaan membuat pengisytiharan harta sebagai satu daripada cara mengelak seseorang daripada terlibat dalam sebarang salah laku atau rasuah.

Rafizi yang juga naib presiden PKR memberitahu beliau akan menulis surat kepada semua anggota parlimen dan pegawai atasan kerajaan untuk mencadangkan kepada mereka melakukan pengisytiharan harta.

Sehari kemudian Rafizi mengadakan sidang media untuk mengisytiharkan harta serta aset dimilikinya.

Mengenai pembabitannya dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Pulau Pinang, Mujahid berkata beliau menyandang tiga jawatan iaitu pengarah bukan eksekutif Syarikat Usaha Tarbiyah Sdn Bhd, pengarah Yayasan Islam Pulau Pinang dan timbalan pengerusi Perpustakan Awam Pulau Pinang.

Katanya beliau tidak mendapat sebarang bayaran daripada kedudukan itu kecuali elaun RM200 bagi setiap kali menghadiri mesyuarat.

Mengenai isterinya Mujahid memberitahu wanita terbabit memiliki sebuah rumah dan kereta.

"Saya cuma mahu bertanggungjawab dan telus dalam bayaran yang diterima sebagai wakil rakyat.

"Saya tidak mendapat bayaran ini jika bukan kerana menjadi pilihan rakyat. Dengan pengisytiharan ini orang ramai boleh tahu bagaimana saya berbelanja," katanya.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS