Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
DAP, AMANAH turut dijemput hadir Himpunan Akta 355

Sempena himpunan Akta 355 pada 18 Februari depan, PAS selaku penganjur utama menjemput parti-parti politik untuk menyertai himpunan berkenaan termasuk DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH). 

Menurut Ketua Penerangan PAS Nasruddin Hassan, surat jemputan kepada semua parti politik akan dihantar dan dijangkakan surat tersebut akan diterima pihak berkaitan dalam masa seminggu. 

"Ya kita jemput semua, kita jemput semua.

"Surat akan dihantar sebab kita baru buat sidang media pada hari ini. Beri masa seminggu," katanya.

Beliau memberitahu pemberita demikian selepas sidang media Himpunan Akta 355 di Shah Alam hari ini. 

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan pemberita sama ada DAP dan AMANAH turut dijemput untuk menyertai himpunan berkenaan. 

DAP dan AMANAH merupakan parti pembangkang yang mempunyai hubungan 'dingin' dengan PAS selepas Pakatan Harapan ditubuhkan.

"Malaikat pun kita jemput'

Selain itu ditanya sama ada Umno akan turut terlibat dalam himpunan berkenaan, Tuan Ibrahim berkata perkara itu masih belum dapat disahkan.

"Belum dapat gambaran lagi Umno akan sertai atau tidak. Tapi kita jemput semua.

"Ya kita jemput semua, kita jemput semua. Malaikat pun kita jemput untuk hadir menaungi, memberi rahmat kepada kita.

"Sokongan ahli parlimen Islam penting. Isu ini mengatasi isu politik," katanya lagi.

Usul pindaan rang undang-undang Akta 355 yang dibawa Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang di parlimen ialah mengenai hukuman penjara antara tiga hingga 30 tahun, denda antara RM5,000 hingga RM100,000 dan sebatan setakat maksimum 100 kali.

Usul itu digelar sesetengah pihak sebagai "undang-undang hudud" kerana didakwa bakal membuka jalan kepada pelaksanaan hukum Islam di peringkat negeri, terutama di Kelantan yang ditadbir PAS.

Pada tahun lalu, Abdul Hadi membentangkan rang undang-undang persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) sebanyak dua kali di Parlimen iaitu pada April dan November.

Namun pada sidang terakhir Parlimen November tahun lalu, anggota parlimen Marang itu memohon huraian usulnya itu dibuat pada sesi akan datang.

Lihat Komen
ADS