Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS, BERSATU wujud jawatankuasa teknikal
Diterbitkan:  Feb 1, 2017 3:51 PM
Dikemaskini: 11:09 AM

Pertemuan antara wakil PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) sebentar tadi difahamkan berlangsung tanpa pemimpin tertinggi kedua-dua parti.

Menurut sumber BERSATU diwakili timbalan presidennya Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang turut mempengerusikan pertemuan berkenaan.

Kata sumber itu lagi, PAS pula diwakili timbalan presidennya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, serta naib presiden yang juga anggota parlimen Bukit Gantang, Idris Ahmad.

Difahamkan pertemuan di Bangsar itu berlangsung kurang dari dua jam. Suatu kenyataan bersama dijangka dikeluarkan tidak lama lagi.

Beberapa pemimpin PAS dan BERSATU yang dihubungi sebelum ini enggan memberikan sebarang bayangan mengenai status pertemuan berkenaan, termasuk lokasi ia berlangsung, dipercayai untuk mengelak diserbu wartawan.

Pertemuan itu adalah rentetan daripada cubaan mewujudkan kerjasama antara pembangkang menjelang pilihan raya umum (PRU) ke-14 yang mesti diadakan selewat-lewatnya 2018.

Ketika BERSATU dilihat tidak bermasalah dengan Pakatan Harapan (HARAPAN) yang dianggotai PKR, DAP dan Parti Amanah Negara, PAS pula menjarakkan diri dari gabungan berkenaan.

Semua parti pembangkang bersetuju dengan formula satu lawan satu menghadapi BN, namun PAS tidak mahu bertolak ansur sama sekali dengan DAP dan AMANAH.

BERSATU pada awalnya dilihat cuba menjadi penghubung antara PAS dan HARAPAN melalui pembabitan presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam beberapa siri ceramah bersama.

Draf kerjasama diperhalusi

Bagaimanapun perkembangan terkemudian menyaksikan beberapa pemimpin PAS membuat komen keras dan mengecam pimpinan utama BERSATU, termasuk pengerusinya Tun Dr Mahathir Mohamad.

Antara mereka ialah Ahli Jawatankuasa Pusat PAS, Dr Zuhdi Marzuki, yang melabel bekas perdana menteri itu sebagai "diktator politik".

Mengulas mengenai komen itu Dr Mahathir berkata ada pihak tertentu dalam PAS cuba mensabotaj langkah mempertemukan kedua-dua parti.

Dalam kenyataan dilaporkan Malaysiakini pada 25 Januari lalu, Dr Mahathir berkata antara pemimpin terbabit ialah Zuhdi yang juga pengarah Pusat Penyelidikan PAS.

Sementara itu dalam kenyataan bersama dikeluarkan petang ini, Tuan Ibrahim dan Mukhriz berkata, kedua-dua parti mencapai persefahaman hasil perbincangan tadi.

Justeru, kata mereka, sebuah jawatankuasa teknikal dibentuk untuk mengambil tindakan susulan daripada keputusan dipersetujui antara PAS dan BERSATU.

"Mesyuarat Jawatankuasa Induk Bersama PAS dan BERSATU berlangsung hari ini di Kuala Lumpur dan berjaya menghasilkan persefahaman antara kedua-dua pihak.

"Delegasi PAS diketuai oleh timbalan presiden, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, dan BERSATU diketuai Datuk Seri Mukhriz," kata kenyataan itu lagi.

Menurut kenyataan berkenaan mesyuarat hari ini memperhalusi draf rangka kerjasama persefahaman politik PAS-BERSATU bagi menghadapi PRU ke-14.

"Beberapa ketetapan positif diambil dalam usaha untuk memeterai kerjasama antara kedua-dua parti," katanya.

Lihat Komen
ADS