Paling Popular
Terkini
story images
story images

Seorang wartawan Utusan Malaysia telah menghubungi saya bertanya tentang kenyataan Dr Mahathir dalam Malay Mail Online bertajuk "Dr M Says Does'nt Need PAS, Can Beat Islamist Party".

Beliau bertanya: "Apa pandangan Dr mengenai hal ini? Adakah Dr Mahathir sengaja membuat kenyataan begini untuk merendahkan PAS?"

Saya memberitahu beliau: Pada pandangan saya, memang Dr Mahathir sengaja mengeluarkan kenyataan ini, tetapi bukan kerana ia memandang rendah terhadap PAS, sebaliknya dia bimbang dengan pengaruh PAS.

Kenyataan seperti ini adalah sebahagian dari strategi politik beliau.

Dr Mahathir adalah seorang diktator politik, dan atas sifat itulah beliau berkonfrontasi dengan semua perdana menteri yang berada di atasnya, daripada Tunku Abdul Rahman sehingga perdana menteri sekarang.

Kalaupun boleh dikecualikan ialah di zaman Tun Abdul Razak.

Dengan sifat diktator politik inilah Dr Mahathir mencantas semua pimpinan Umno dan timbalan perdana menteri yang menggugat kedudukannya, daripada Tengku Razaliegh sehingga Anwar Ibrahim.

Malah beliau juga pimpinan politik yang berani menyanggah raja-raja Melayu.

Sekarang beliau berada bersama blok pembangkang, dan dengan sifat diktator politik ini, beliau mahu kesemua parti dan pimpinan pembangkang untuk tunduk kepada gerakan politiknya.

Sekarang beliau berjaya meletakkan dirinya sebagai ketua kepada PPBM (Parti Pribumi Bersatu Malaysia - BERSATU), PKR, DAP dan PAN (Parti Amanah Negara - AMANAH).

Anwar Ibrahim sudah berjaya beliau tenggelamkan. Lim Kit Siang telah berjaya beliau jinakkan. Mohamad Sabu telah berjaya beliau mandulkan.

Mahfuz Omar telah berjaya beliau perbudakkan.

Dengan pengertian lain, beliaulah sebenarnya ketua blok PH (Pakatan Harapan - HARAPAN) untuk melawan BN.

Yang boleh menggugat dictatorship beliau dalam blok pembangkang ialah PAS, kerana PAS adalah sebuah parti politik yang paling besar selepas Umno.

Sebab itu, Dr Mahathir sangat tidak mengalu-alukan PAS, meskipun Muhyiddin Yassin amat mengharapkan hubungan itu.

Pendirian PAS pula konsisten dalam isu mendaulatkan syariah Islam dan mempertahankan hak orang Melayu, yang begitu bertentangan dengan strategi Dr Mahathir.

Faktor ini juga menjadi faktor tambahan mengapa Dr Mahathir tidak mengalu-alukan hubungan dengan PAS.


DR MOHD ZUHRI MARZUKI anggota Jawatankuasa Pusat PAS, juga Pengarah Pusat Penyelidikan PAS. Kenyataan ini tersiar di portal Harakahdaily

Lihat Komen
ADS