Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
GrabCar Malaysia sedang melihat terlebih dahulu berkaitan pampasan kepada pemandunya berikutan penetapan kadar rata RM110 untuk perjalanan dari Genting ke mana-mana destinasi di Semenanjung Malaysia.
 
“Jika ada pemandu yang terjejas mereka boleh berjumpa dengan kami. Kami akan dengar suara mereka dan kita akan lihat perkara ini,” kata Ketua Pengurusnya Sean Goh kepada Malaysiakini.
 
Sean berkata demikian ketika ditanya adakah akan memberi pampasan kepada pemandunya berikutan gesaan Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS) untuk menyelesaikan isu itu.
 
Semakan Malaysiakini mendapati kadar rata RM110 tidak lagi terpakai untuk perjalanan dari Genting ke destinasi luar Lembah Klang.
 
Sebagai contoh, kos perjalanan dari Pahang ke Johor Bharu telah berubah kepada RM500 berbanding nilai sebelum ini RM110.
 
Sementara itu, pemandu GrabCar dan IKHLAS yang dikhabarkan ingin membuat bantahan di hadapan majlis anjuran GrabCar bagaimanapun tidak muncul-muncul hari ini
 
Pihak petugas media telah menunggu kumpulan pemandu itu namun ketika menghubungi Presiden IKHLAS Mohd Ridzuan Abdullah menafikan pernah mengatakan akan menganjurkan demonstrasi itu.
 
“Mana ada. Kalau saya nak jumpa media, saya yang sendiri akan beritahu media. Itu bukan dari saya. Saya tak tahu siapa punya kerja.
 
“Kita tak mahu berhimpun, kalau GrabCar tak selesaikan kita akan buat laporan polis,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
 
Pihak GrabCar turut mengatakan bahawa mereka maklum mengenai perhimpunan tersebut itu dan turut kelihatan pihak polis berjaga di sekitar bangunan itu.
 
GrabCar hari ini melancarkan melancarkan produk barunya ‘Grab-share’ yang membolehkan pelanggan kini boleh berkongsi perjalanan.
Lihat Komen
ADS