Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Rafidah Aziz berkata kementeriannya tidak tahu menahu mengenai spekulasi kononnya perkhidmatan Ketua Pegawai Eksekutif Proton Holdings Bhd, Tengku Tan Sri Mahaleel Tengku Ariff telah ditamatkan.
"Saya tidak tahu... saya tidak ada hubungan dengan Proton. Kementerian tidak jaga Proton," kata Rafidah dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Pergerakan Wanita Umno Malaysia di Kuala Lumpur hari ini.
"Proton di bawah Khazanah (Nasional Bhd). Proton adalah terus di bawah Khazanah dan Khazanah (terletak) di bawah Kementerian Kewangan," kata Rafidah, yang juga Ketua Wanita Umno Malaysia.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan akhbar hari ini yang mengatakan Khazanah telah meminta lembaga pengarah pembuat kereta nasional itu supaya menamatkan perkhidmatan Tengku Mahaleel (foto) kerana telah mengkritik kerajaan dan dasar automotif negara.
Malah, tegas beliau, tidak ada seorang pun wakil kementeriannya dalam lembaga pengarah Proton Holdings.
"Dalam Proton pun wakil kementerian tidak ada. Dulu ada ketua setiausaha (kementerian) saya (dalam lembaga pengarah) tetapi (sudah) tidak ada lagi wakil. (Jadi) saya sendiri tidak ada kaitan dengan Proton," kata beliau.
Ketika diminta mengulas lebih lanjut mengenai kedudukan Tengku Mahaleel, Rafidah (foto) berkata: "Saya tidak tahu... yang tahu (ialah) Menteri Kewangan saja," tambahnya.
Semasa diwawancara akhbar berbahasa Cina, Oriental Daily , Tengku Mahaleel dilaporkan mempersoalkan langkah kerajaan memberi status kereta nasional kepada Naza, sekaligus menikmati rebat cukai yang sama dinikmati Proton.
Kelmarin, Rafidah Aziz membidas kenyataan Tengku Mahaleel itu dan menasihatkannya berhenti menyalahkan orang lain jika Proton menghadapi masalah untuk bersaing.
Menurut laporan Bernama, Khazanah, yang memegang saham terbesar sebanyak 42 peratus dalam Proton, merupakan cadang pelaburan kerajaan dan dipertanggungjawabkan sebagai pelabur strategik kerajaan.
Ketika bercakap dalam sidang media selepas mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno malam tadi, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah menafikan bahawa Tengku Mahaleel telah diberi surat tunjuk sebab mengapa tindakan tidak boleh diambil terhadap beliau kerana mengkritik dasar automotif kerajaan.
Abdullah, yang juga Menteri Kewangan, merupakan Pengerusi Khazanah Nasional.
Laporan akhbar-akhbar hari ini juga menyebut Tengku Mahaleel diberi masa seminggu untuk menjawab surat tunjuk sebab itu.
