PM nafi Tengku Mahaleel disingkir dari Proton
Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menafikan desas-desus bahawa Khazanah Nasional Bhd telah meminta Lembaga Pengarah Proton Holdings Bhd supaya menamatkan perkhidmatan Ketua Pegawai Eksekutif pembuat kereta nasional itu, Tengku Tan Sri Mahaleel Tengku Ariff.
Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menafikan desas-desus bahawa Khazanah Nasional Bhd telah meminta Lembaga Pengarah Proton Holdings Bhd supaya menamatkan perkhidmatan Ketua Pegawai Eksekutif pembuat kereta nasional itu, Tengku Tan Sri Mahaleel Tengku Ariff.
"Saya mempengerusikan mesyuarat (Khazanah) (dan) tiada keputusan sedemikian," katanya semasa menjawab pertanyaan berkaitan khabar angin bahawa Tengku Mahaleel (foto) telah diberikan surat tunjuk sebab berhubung tindakannya mengkritik kerajaan dan dasar automotif negara.
Abdullah yang juga presiden Umno berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di Kuala Lumpur malam tadi. Abdullah merupakan pengerusi Khazanah - cabang pelaburan kerajaan.
Khazanah merupakan pemegang saham terbesar dengan 42 peratus pegangan dalam syarikat pembuat kereta nasional itu.
Terdapat khabar angin kononnya Tengku Mahaleel diberi masa seminggu untuk menjawab surat tunjuk sebab berkenaan kerana mengkritik dasar automatif kerajaan.
Semasa diwawancara akhbar berbahasa Cina, Oriental Daily , Tengku Mahaleel dilaporkan mempersoalkan langkah kerajaan memberi status kereta nasional kepada Naza, sekaligus menikmati rebat cukai yang sama dinikmati Proton.
Menurut sumber, Khazanah telah melahirkan pandangannya mengenai perjalanan syarikat automotif itu melalui wakilnya di dalam lembaga pengarah Proton.
Bernama melaporkan, semasa ditanya mengenai kereta Korea Selatan yang murah menjejaskan jualan kereta Proton, Abdullah berkata: "Saya tidak melihat itu sebagai satu sebab yang telah membawa penjejasan kepada Proton.
Kemampuan bersaing
"Ada banyak fakta lain yang perlu juga diambil kira. Satu daripadanya ialah kemampuan untuk Proton untuk menjadi satu pembuat kereta yang benar-benar kompetitif. Itu perlu diberi perhatian."
Sebelum ini, Tengku Mahaleel beberapa kali berdepan dengan spekulasi bakal disingkirkan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Proton.
Pada awal tahun ini, Datuk Abu Hassan Kendut melepaskan jawatan pengerusi Proton selepas keputusan lembaga pengarahnya untuk tidak memperbaharui kontrak Tengku Mahaleel, ditarik balik.
Kelmarin, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Rafidah Aziz membidas kenyataan Tengku Mahaleel itu dan menasihatkannya berhenti menyalahkan orang lain jika Proton menghadapi masalah untuk bersaing.
Menurut laporan Berita Harian , Lembaga Pengarah Proton memanggil satu mesyuarat tergempar kelmarin bagi membincangkan kenyataan Tengku Mahaleel dalam wawancara dengan Oriental Daily itu.
Dalam mesyuarat tersebut, Lembaga Pengarah Proton dikatakan membuat panggilan telefon kepadanya meminta penjelasan mengenai kenyataan dalam akhbar tersebut.
Beliau juga dikatakan diberi tempoh sehingga akhir minggu ini untuk memberi jawapan kepada lembaga pengarah.

