Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
EIU: Kos sara hidup Malaysia rendah kerana ringgit lemah
Diterbitkan:  Apr 27, 2017 2:43 PM
Dikemaskini: 7:04 AM

Kos sara hidup di Malaysia adalah yang terendah di kalangan negara-negara ASEAN, disebabkan kadar ringgit yang lemah dan inflasi yang stabil, kata Economist Intelligence Unit (EIU).

Menurut penganalisis EIU Jon Copestake, ringgit jatuh begitu ketara berbanding dolar Amerika dalam tempoh lima tahun lalu.

"Mata wang lain di rantau ini mungkin kekal stabil atau semakin kukuh," kata Copestake, ketua penganalisis runcit dan barangan pengguna, EIU.

Dari segi inflasi, Copestake memberitahu Malaysiakini, tahap inflasi berjaya dikekang sepanjang tempoh lima tahun lalu, dengan purata di bawah empat peratus.

"Tiada sebarang kenaikan ketara dalam harga, dengan inflasi umumnya pada tahap rendah, iaitu satu angka.

"Negara lain mungkin menyaksikan inflasi tempatan melonjakkan harga setinggi lima peratus atau lebih dalam tempoh yang sama.

"Dalam beberapa kes di tempat lain, inflasi tahunan mungkin mencatatkan dua angka, tetapi pergerakan harga tahunan di Kuala Lumpur secara umumnya berada pada purata di bawah empat peratus," katanya Copestake.

Kedudukan ringgit yang lemah, digabungkan dengan kadar inflasi yang rendah, menjadikan kos sara hidup di Kuala Lumpur sebagai yang terendah berbanding dengan negara-negara serantau.

Lima tahun lalu, kos sara hidup di Kuala Lumpur adalah lebih tinggi berbanding dengan Phnom Penh, Hanoi, Ho Chi Minh, Bandar Seri Begawan dan Manila, katanya.

EIU, sebuah anak syarikat Majalah Economist, baru-baru ini menerbitkan laporan Kos Sara Hidup Dunia 2017, yang membabitkan 133 bandar.

Menurut laporan itu, Kuala Lumpur menduduki tempat ke-96, kedudukan paling rendah di kalangan semua bandar Asean yang terlibat dalam kajian itu.

Berikutan itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memetik laporan berkenaan sebagai mengesahkan dasar pentadbirannya - kawalan harga, pembahagian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan usaha perangi orang tengah - berjaya mengurangkan kos sara hidup.

Najib berkata walaupun dasar negara mendapat pengiktirafan oleh EIU, usaha pentadbirannya meringankan bebanan kos sara hidup sudah selesai.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS