Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Siasatan 1MDB: DiCaprio pulangkan Oscar Brando
Diterbitkan:  Jun 16, 2017 2:53 AM
Dikemaskini: Jun 16, 2017 3:01 AM

Bintang Hollywood Leonardo DiCaprio memulangkan Oscar yang dimenangi oleh Marlon Brando kepada penyiasat Amerika Syarikat (AS) susulan siasatan pengubahan wang haram terhadap 1MDB, kata wakilnya pada Khamis.

DiCaprio juga mahu memulangkan barangan yang dikatakan diterimanya sebagai hadiah untuk lelongan kebajikan yang berpunca daripada pihak yang mempunyai kaitan dengan 1MDB, menurut kenyataan yang dilaporkan Reuters.

Julai lalu, dalam saman sivil AS, penerbit Red Granite didakwa menggunakan RM100 juta yang menurut pendakwa dilencongkan daripada dana 1MDB kepada filem DiCaprio pada 2013 bertajuk The Wolf of Wall Street.

DiCaprio turut berlakon dalam filem itu.

DiCaprio pada Oktober lalu berkata beliau memberikan kerjasama kepada siasatan itu dan akan memulangkan sebarang hadiah atau sumbangan jika didapati berpunca daripada sumber dipersoalkan.

“DiCaprio berusaha memulangkan barang-barang ini, yang diterimanya bagi tujuan dimasukkan dalam lelongan kebajikan tahunan untuk memberikan manfaat kepada yayasannya,” menurut kenyataan itu.

“Beliau juga memulangkan Oscar yang asalnya dimenangi oleh Marlon Brando, yang diberikan kepada DiCaprio sebagai set hadiah oleh Red Granite bagi menyatakan terima kasih atas penglibatannya dalam The Wolf of Wall Street,” menurut kenyataan itu.

Yayasan Leonardo DiCaprio Foundation ditubuhkan pada tahun 1988 bagi mendukung pelbagai projek berkaitan alam sekitar.

Dalam pemfailan pada Khamis, Jabatan Keadilan(DOJ) AS mahu merampas karya seni Picasso dan Basquiat yang dikatakan dibeli menggunakan wang yang dicuci daripada Malaysia dan dihadiahkan kepada DiCaprio oleh Red Granite.

Setakat ini masih tidak jelas dalam kenyataan itu sama ada dua lukisan itu telah dipulangkan atau tidak. Begitu juga dengan lukisan Diane Arbus yang turut disenaraikan dalam pemfailan undang-undang DOJ.

Pemfailan itu juga bertujuan merampas aset-aset dua lagi filem Red Granite yang didakwa pihak pendakwaan menggunakan wang 1MDB, iaitu Dumb and Dumber To (2014) dan Daddy's Home (2015).

Red Granite Pictures yang berpangkalan di Los Angeles dalam kenyataan pada Khamis berkata “sedang berhubung dengan Jabatan Kehakiman secara aktif untuk menyelesaikan kes-kes saman sivil dan bekerjasama penuh”.

[Baca berita asal]

Laporan berkaitan

Apandi kesal 'sindiran' DOJ terhadap PM

DOJ dakwa Low beli lebih AS$1b hartanah dengan wang 1MDB

Pembantu PM: Motivasi pemfailan DOJ lebih dari setakat 'rampas aset'

DOJ: Jho Low belanja AS$10j beli barang kemas untuk model, ibu

'Kapal layar mewah Jho Low dibeli dengan dana 1MDB'

DOJ dakwa anak tiri Najib beli hartanah, poster guna dana dari Aabar BVI

DOJ: 'Derma' dipulangkan diguna beli rantai berlian isteri MO1

Siasatan 1MDB: DiCaprio pulangkan Oscar Brando

Lihat Komen
ADS