DOJ: 'Derma' dipulangkan diguna beli rantai berlian isteri MO1

   

Jabatan Keadilan (DOJ), Amerika Syarikat (AS) akhirnya menyerlahkan apa yang berlaku terhadap wang AS$620 juta yang dipulangkan Malaysian Official 1 (MO1) kepada “penderma”.

Dalam saman sivil pelucuthakan terbaru, DOJ berkata sekurang-kurangnya AS$27.3 juta digunakan untuk membeli loket dan rantai berlian 22 karat berwarna merah jambu untuk isteri MO1.

Ia juga mendakwa “derma” yang dipulangkan itu digunakan oleh hartawan kelahiran Pulau Pinang Jho Low untuk membeli gambar bernilai AS$750,000 sebagai hadiah kepada pelakon Hollywood Leonardo DiCaprio.

MO1 disifatkan sebagai pegawai kanan kerajaan oleh DOJ.

Tahun lalu, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Rahman Dahlan berkata MO1 merujuk kepada Datuk Seri Najib Razak tetapi menegaskan perdana menteri bukan sebahagian daripada siasatan.

Najib telah menafikan menggunakan dana awam untuk kepentingan peribadi.

Dalam saman tahun lalu, DOJ berkata sejumlah AS$731 juta yang didakwa diseleweng daripada 1MDB mengalir ke dalam akaun peribadi MO1.

Ini termasuk ASS$681 juta yang dipindahkan pada Mac 2013. Dokumen DOJ memetik Peguam Negara Malaysia Tan Sri Apandi Ali sebagai berkata ia adalah sumbangan peribadi daripada kerabat diraja Arab Saudi.

Kedua-dua pihak, DOJ dan Apandi, berkata AS$620 juta telah dipulangkan.

DOJ mendakwa wang yang berpunca daripada 1MDB, dan dipindahkan kepada MO1 dan kemudian dipulangkan kembali, melalui akaun bank Tanore Corporation di Singapura.

Kes di mahkamah republik itu menyebut akaun itu dikawal oleh Low.

Bagaimanapun, apa yang berlaku kepada wangg yang dipulangkan itu kekal misteri sehinggalah butiran lanjutnya dinyatakan dalam saman 251 halaman DOJ pada Khamis.

Menurut DOJ, pada Jun 2013, dua bulan sebelum wang itu dipulangkan, Low dikatakan menghubungi tukang emas permata Lorraine Schwartz berkaitan “rantai berlian merah jambu permata bentuk hati 18 carrot (sic)”.

Bulan berikutnya, Schwartz dikatakan pergi ke Monaco dengan permata merah jambu 22 karat untuk bertemu Low dan ketua pegawai eksekutif (CEO) Aabar Mohamed Ahmed Badawy Al-Husseiny di atas sebuah kapal layar.

Isteri MO1 dan kawannya – dirujuk DOJ sebagai "Malaysian Friend" turut berada di situ.

Mereka kemudian dikatakan membincangkan soal rekaan rantai itu.

Schwartz kemudian dikatakan bertemu isteri MO1 di New York pada 28 September bagi menunjukkan rekaan rantai itu.

Najib dan Rosmah berada di New York ketika persidangan agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Najib berucap pada 28 September.

Sementara itu, rantai yang siap itu didakwa dihantar kepada "Malaysian Friend" di Hong Kong pada 7 Mac 2014, supaya dapat disampaikan kepada isteri MO1.

Bagaimanapun tidak jelas bila beliau secara peribadi menerimanya.

Menurut DOJ, bayaran AS$27.3 juta itu berpunca daripada wang AS$620 juta yang dipulangkan MO1 kepada Tanore pada Ogos 2013.

Pada 9 September 2013, US$58.85 juta daripada akaun Tanore didakwa disalurkan ke akaun lain – Midhurst Trading Limited – yang berdasarkan fakta perbicaraan di mahkamah Singapura Low membukanya menggunakan nama Eric Tan.

Keesokan harinya, wang AS$32.76 juta itu didakwa dipindahkan ke akaun bank DBS Singapura atas nama Blackrock.

Daripada situ, dua pindahan kawat (wire transfer) dibuat kepada Schwartz di akaun Bank of America berjumlah AS$27.3 juta.

DOJ menyebut Low mungkin mengguna e-mel Tan untuk memastikan namanya tidak dikaitkan dengan rekod pembelian barang kemas itu.

E-mel daripada Tan kepada pembantu Schwartz pual dikatakan meminta nama Low tidak disebut lanjut dalam e-mel kemudiannya kerana dia hanya pihak yang memperkenalkan dan bukan pembeli.

Selain rantai merah jambu AS$27.3 juta, DOJ juga menuduh Low membeli 27 bentuk rantai dan gelas 18 karat untuk isteri MO1 yang keseluruhannya bernilai AS$1.3 juta.

Pembelian lain dikatakan diguna untuk membeli gambar Diane Arbus bertajuk “Boy with the Toy Hand Grenade" bernilai AS750,000 yang didakwa disalurkan daripada akaun Tanore kepada bekas anak syarikat 1MDB, SRC International.

Terdapat dakwaan bahawa AS$620 juta itu adalah baki wang yang digunakan untuk mendanai kempen pilihan raya umum BN pada 2013

Najib dan BN bagaimanapun menegaskan bahawa wang itu berpunca daripada kerabat diraja Saudi. Pihak yang membuat tuduhan terhadapnya pula didakwa mahu menjatuhkan kerajaan sedia ada.

[Baca berita asal/penuh]

Laporan berkaitan

Apandi kesal 'sindiran' DOJ terhadap PM

DOJ dakwa Low beli lebih AS$1b hartanah dengan wang 1MDB

Pembantu PM: Motivasi pemfailan DOJ lebih dari setakat 'rampas aset'

DOJ: Jho Low belanja AS$10j beli barang kemas untuk model, ibu

'Kapal layar mewah Jho Low dibeli dengan dana 1MDB'

DOJ dakwa anak tiri Najib beli hartanah, poster guna dana dari Aabar BVI

DOJ: 'Derma' dipulangkan diguna beli rantai berlian isteri MO1

Siasatan 1MDB: DiCaprio pulangkan Oscar Brando

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda