Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tulisan 'komunis' nyaris heret pemimpin PAS ke mahkamah

Parti Amanah Negara (AMANAH) mengugut untuk menyaman Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria selepas beberapa kali mengaitkan parti itu dengan Parti Komunis Malaya (PKM).

Peguam AMANAH Mohamed Hanipa Maidin mendakwa Razman cuba membuat provokasi terhadap pemimpin utama mereka, yang jelas kelihatan dalam gambar dimuat naik.

"Saya bercadang sehari dua lagi akan menghantar surat (tuntutan guaman) kepada Razman untuk meminta maklum balas.

“Sekiranya dalam masa 14 hari tidak ada respon daripada beliau, kita akan teruskan saman dan kita akan jumpa dia di mahkamah," katanya pada sidang media di Wisma AMANAH di ibu negara hari ini.

Poster yang dirujuk Hanipa itu ialah imej dikongsi Razman yang memaparkan "sejarah yang berulang" dengan membandingkan penubuhan AMANAH - didakwanya sebagai proksi DAP - dengan Rejimen ke-10 PKM.

Rejimen ke-10 itu dianggotai sepenuhnya oleh golongan Melayu.

Tiga pemimpin kanan AMANAH Mohamad Sabu (presiden), Salahuddin Ayub (timbalan) dan Anuar Tahir (setiausaha agung) antara yang kelihatan dalam poster itu.

"Berjuang dengan jelas, jangan bimbang dan playsave (sepatutnya: playsafe), musuh tetap musuh," kata Razman memberi kapsyen untuk poster itu.

Sementara itu dihubungi Malaysiakini kemudiannya, Razman berkata, beliau memohon maaf jika pemimpin AMANAH 'terasa hati' dengan status yang dimuat naik di Facebooknya.

Untuk rekod, Razman ketika ini menjadi antara tokoh penting PAS sama ada di peringkat negeri atau pusat.

Tak tetap pendirian

Sebelum ini Razman pernah menyatakan keyakinannya untuk melihat PAS menawan Perak pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) melalui sifir politik yang menarik.

Kaedah itu ialah dengan meletakkan calon PAS di 30 daripada 59 kerusi dewan undangan negeri dan berdoa supaya Umno tidak bertanding mencabar mereka di kerusi berkenaan.

Razman juga berdoa supaya orang Umno akan mengundi PAS.

"Selepas PRU14 insya-Allah PAS bentuk kerajaan. Usahakan sebelum terlambat," katanya.

Selepas muktamar yang berakhir 1 Mei lalu, Razman dilantik sebagai bendahari agung PAS.

Sementara itu, mengulas kesediaan PAS membuka pintu kerjasama semula dengan PKR dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Salahuddin berkata, ia jelas menunjukkan parti terbabit tidak mempunyai pendirian tetap.

Tambah Salahuddin, beliau juga tidak hairan dengan sikap flip flop PAS kerana amalan tersebut sudah sinonim di kalangan pemimpin parti berkenaan.

"PAS boleh buat keputusan hari ini, esok berubah. Jadi saya tak pelik dengan flip flop, ia menjadi amalan pemimpin PAS hari ini," kata Salahuddin.

Salahuddin berkata demikian mengulas kenyataan Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah bahawa parti itu bersama Gagasan Sejahtera masih terbuka untuk menjalin kerjasama dengan semua parti termasuk PKR dan BERSATU, tetapi bukannya AMANAH serta DAP.

Pelawaan itu terbuka kepada PKR dan BERSATU jika mereka hendak memutuskan hubungan dengan AMANAH dan DAP untuk menjatuhkan BN pada PRU14.

Pada 12 Februari lalu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menutup pintu kerjasama dengan BERSATU dengan alasan parti Islam itu tidak akan bekerjasama dengan parti yang mempunyai hubungan dengan DAP dan AMANAH.

Pada 11 Mei lalu pula, Majlis Syura Ulama PAS mengambil keputusan menamatkan kerjasama hampir 18 tahun dengan PKR seperti yang diluluskan perwakilan pada Muktamar PAS ke-63 di Kedah pada akhir April lalu.

Lihat Komen
ADS