Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
PAS yakin bentuk kerajaan di Perak
Diterbitkan:  Apr 13, 2017 1:24 PM
Dikemaskini: 7:06 AM

Pemimpin PAS Perak sekali lagi menarik perhatian apabila membuat komen ringkas mengenai perancangan masa depan parti itu menjelang pilihan raya umum (PRU) ke-14 nanti.

Hari ini, Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria, membayangkan mereka benar-benar bakal mentadbir negeri itu daripada BN.

Caranya - PAS akan meletakkan calon di 30 daripada 59 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak dan berdoa supaya Umno tidak meletakkan calon mereka di situ.

Razman juga berdoa supaya orang Umno akan mengundi PAS.

"Selepas PRU14 insya-Allah PAS bentuk kerajaan. Usahakan sebelum terlambat," katanya di Facebook hari ini.

PAS pernah mempunyai wakil sebagai menteri besar pada 2008 apabila parti itu bersama DAP dan PKR menguasai majoriti di DUN Perak.

Walaupun mempunyai kerusi yang lebih rendah berbanding PKR dan DAP, pakatan tersebut bersetuju menamakan wakil rakyat PAS sebagai menteri besar.

Bukan parti khadam

Bagaimanapun melalui percaturan politik pihak lawan, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin diketepikan daripada jawatan berkenaan dan BN kembali menguasai Perak.

Ahli Dewan Undangan Negeri Pangkor, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir kemudian dilantik mengisi jawatan berkenaan.

Mohamad Nizar bagaimanapun diketepikan pewakilan PAS pada muktamar parti itu di Kuala Selangor pada 2015 bersama ramai tokoh lain, termasuk Mohamad Sabu.

Semalam Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli, meminta PAS menyatakan pandangan secara jelas berhubung 'sifir politik' Razman.

Kata Rafizi, kenyataan dibuat Razman itu meresahkan kerana dia mempunyai jawatan tinggi dalam PAS.

Katanya, ia juga menimbulkan keresahan ramai kerana mengesahkan kebimbangan sebahagian besar rakyat Malaysia bahawa ada anasir dalam PAS masih berangan-angan untuk bergabung dengan Umno - sama ada secara langsung atau melalui muslihat halus - dan mengambil alih Putrajaya.

Berdasarkan kedudukan semasa, sesebuah parti boleh menguasai DUN Perak dengan majorti mudah jika mendapat 30 kerusi.

Menurut Razman, dengan 30 calon diletakkan di Perak, ia cukup untuk membentuk kerajaan negeri.

"PAS Perak bukan khadam DAP," katanya.

Lihat Komen
ADS