Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri,Datuk Seri Rafidah Aziz perlu menjelaskan kontroversi yang menyelubungi isu AP import kereta, dalam mesyuarat Kabinet esok kerana banyak isu telah ditimbulkan mengenai perkara itu, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

"Saya rasa dia datang esok (bagi mesyuarat Kabinet). Memanglah dia kena jelaskan. Kita ingin dapatkan banyak penjelasan daripada beliau.

"Semua butiran terperinci ada pada Datuk Seri Rafidah," katanya sejurus ketibaannya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas menemami isterinya, Datin Seri Endon Mahmood, yang sedang menjalani rawatan kemoterapi di Amerika Syarikat.

Perdana Menteri berkata demikian apabila ditanya mengenai agenda mesyuarat mingguan Kabinet esok. Rafidah dilaporkan diminta memberikan penjelasan berhubung kontroversi AP pada mesyuarat Kabinet minggu lalu, beliau beliau tidak hadir kerana bercut i sakit.

Abdullah, yang juga Menteri Kewangan, turut berkata beliau berharap Dasar Automotif Negara akan diumumkan bulan depan.

Balik bertugas

Rafidah telah kembali bertugas hari ini. Beliau tidak dapat menghadiri mesyuarat kabinet minggu lalu kerana menjalani rawatan pada lutut beliau susulan daripada pembedahan yang dijalaninya tahun lalu.

Sabtu lalu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dilaporkan berkata kabinet akan meminta Rafidah memberikan pandangannya berhubung perkara yang ditimbulkan oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai pengeluaran permit import (AP).

Najib juga dilaporkan berkata, kabinet ingin tahu penjelasan Rafidah kerana ada kenyataan Dr Mahathir dan jawapan balik daripada bekas Perdana Menteri itu.

Dr Mahathir yang juga Penasihat Proton sebelum ini mendakwa Rafidah tidak membuat kenyataan benar kepada perwakilan di Perhimpunan Agung Umno mengenai pengeluaran AP.